BAGI ibu bapa yang bekerja, setiap kali menghantar anak ke rumah pengasuh atau taska hanya satu yang diharapkan iaitu anak dalam keadaan baik sepanjang jagaan dan sentiasa sihat serta dijauhkan daripada apa-apa kejadian tak diingini.

Namun menerusi perkongsian seorang bapa, Bakti Zakaria, hati ibu bapa mana yang tidak sedih saat melihat anak yang sepatutnya dijaga dengan baik mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan ketika mahu mengambilnya.

Menurut bapa ini, dia hanya perasan keadaan anak ketika mahu mengambil pada waktu petang di sebuah taska di Selangor.

Anak baru 10 bulan, pekerja ada tiga orang termasuk pengurus, tapi pengurus jarang ada. Budak ada dekat 20 orang. Bila tanya masa nak masuk taska tu kemain cakap satu cikgu tiga kanak-kanak sahaja dia jaga.

Dah lah waktu kecederaan tak beritahu. Boleh tahu pun waktu balik. Kalau ambil anak lambat hari itu tentu anak kena tahan sakit lagi lama. Tak bertanggungjawab langsung.

Lebih mengejutkan lagi apabila terdapat banyak kesan gigitan di bahagian pipi dan tangan. Malah, terdapat juga kesan jatuh pada kanak-kanak berusia 10 bulan itu.

Lapan kesan gigitan. Di pipi kanan kesan macam jatuh, pipi kiri kesan kena gigit. Telinga tak pasti kena gigit atau kena benda lain tapi berdarah. Di belakang telinga bahagian kepala ada kesan gigit juga. Tangan kanan terdapat empat kesan gigit, tangan kiri satu kesan gigitan.

Dah buat laporan polis, tunggu keputusan JKM

Berasa tidak puas hati anaknya diperlakukan seperti itu, si bapa kemudian meminta untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pihak taska, namun mereka memberi alasan bahawa rakaman CCTV terbabit tidak dapat dilihat kerana bil internet tidak dibayar selama dua bulan.

Lepas itu bila berlaku kecederaan pada budak, nak tengok CCTV kata tak bayar internet dah dua bulan.

Ini bukan jaga dengan baik. Ini biarkan seperti haiwan yang duduk dalam sangkar lepas je nak jadi apa. Ini nyawa manusia, bukan boleh buat apa sahaja.

Walau bagaimanapun, Bakti sudah melaporkan perkara terbabit kepada pihak polis dan kini sedang menunggu keputusan daripada Jabatan Kebajikan Masyakarat. - Pa&Ma