SHAH ALAM: Bapa kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari meninggal dunia petang tadi.

Amirudin menerusi Twitter milik beliau memaklumkan komunikasi terakhirnya dengan Allahyarham bapanya Shari Mokhsin adalah pada 1.27 petang tadi melalui aplikasi WhatsApp dan menerima berita pemergian bapanya pada 5.30 petang.

"Sejak kanak-kanak selalu saya terfikir bagaimana harus saya lalui bila orang yang hampir dan rapat meninggal dunia, terimalah takdir bahawa mati itu pasti bagi yang hidup," kata Amirudin di Twitter.

Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Selangor Juwairiya Zulkifli dalam kenyataan berkata Allahyarham Shari meninggal dunia disebabkan komplikasi pernafasan dan jenazah akan dikebumikan di Kampung Parit Asam Kumbang, Benut, Pontian, Johor esok pagi (22 Sept).

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerusi Twitternya @AzminAli, turut menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian bapa Menteri Besar itu.

"Saya baru mendapat khabar sedih di atas pemergian kerahmatullah Allahyarham ayahanda Yang Amat Berhormat (YAB) @AmirudinShari petang ini. Semoga Allahyarham mendapat husnul khatimah dan rohnya ditempatkan di dalam syurga yang penuh ni'mat Allah SWT.

"Saya menghubungi sahabat saya YAB @AmirudinShari dan mengucapkan takziah kepada beliau dan keluarganya dan mendoakan semoga tabah dalam menghadapi kesedihan ini. Al-Fatihah," katanya.


-- BERNAMA