Seorang warga emas kerugian RM15,000 apabila barangan kemas miliknya lesap selepas ditipu dua lelaki berkopiah dalam kejadian berhampiran tapak pasar minggu di bandar Gua Musang, di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian pukul 10.45 pagi itu, mangsa, Hasnah Draman, 63 tahun, hilang dua bentuk cincin, seutas rantai leher, gelang, dan loket emas.

Menceritakan lanjut, Hasnah berkata, ketika kejadian dia baharu selesai membeli barangan keperluan di pasar minggu dan menunggu sepupunya di hadapan sebuah kedai, sebelum didatangi oleh dua lelaki berkopiah dipercayai warganegara Indonesia.

Katanya, ketika berseorangan, dia ditegur oleh seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang bertanyakan lokasi kedai menjual buku agama sebelum seorang lagi rakannya berumur 40-an datang.

Barang kemas bernilai RM15,000 bertukar menjadi wang syiling bernilai RM2.20.

"Kedua-dua mereka kemudian memaklumkan bahawa saya mempunyai pelbagai penyakit dan disantau selain menawarkan ubat yang dibawa dari tanah suci Mekah bagi menyembuhkan penyakit itu," katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.

Tambah Hasnah, kedua-dua lelaki terbabit kemudian meminta wanita warga emas itu menanggalkan barangan kemas yang digunakan serta diminta menghulurkan tapak tangan.

Katanya, warga emas itu juga diarahkan untuk meletakkan semua barangan kemas itu ke dalam sebuah sampul surat dengan syarat tidak boleh dilihat tanpa terlebih dahulu mengambil wuduk.

"Makcik segera mengambil wuduk dan apabila membuka sampul tersebut, barangan kemas telah dilarikan manakala, suspek hanya meninggalkan wang syiling berjumlah RM2.20," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian berkenaan dan mengatakan kes itu masih dalam siasatan.