MANJUNG: Individu yang telah merakamkan perbuatannya merosakkan peralatan tokong di kawasan Kg Koh, Manjung, telah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohamed Nordin Abdullah dalam kenyataan media pada Ahad berkata, pihaknya menerima satu laporan kira-kira jam 1.30 tengah hari Sabtu, susulan penularan sebuah video yang menunjukkan perbuatan individu tersebut.

Beliau berkata, lelaki berusia sekitar 35 tahun itu ditahan pada jam 9.30 malam hari yang sama, selain merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk merakam perbuatan tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan, iaitu membencana atau mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan, dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

“Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 di mana bagi kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” katanya lagi.

Menerusi video berdurasi 40 saat yang tersebar di laman media sosial itu, lelaki berkenaan merakamkan perbuatannya merosak peralatan di tokong tersebut.

Dalam pada itu Mohamed Nordin berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan untuk permohonan reman, bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh sentiment 3R – Raja, Agama, dan Kaum – sehingga melanggar undang-undang dan mencabar perlembagaan, sekaligus menjejaskan keselamatan negara.

Selain itu Mohamed Nordin berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.