TUMPAT: Kira-kira lapan tahun lepas, Aunullah Zakwan Mohamed hanyalah seorang peniaga yang menjual pelbagai barangan aksesori lelaki yang diimport dari luar negara di Bazar Tok Guru, Kota Bharu.

Namun, kehidupan pemuda berusia 34 tahun itu berubah 360 darjah apabila jatuh cinta terhadap barangan kulit buatan tangan, seterusnya mendapat bimbingan daripada seorang rakan yang sudah lama menjalankan perniagaan itu di Wakaf Bharu.

Langkah berani siswazah Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Teknologi Kimia Industri) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu nyata berbaloi apabila beliau kini merupakan antara peniaga barangan kulit buatan tangan yang aktif di Kelantan menggunakan label "Wau Leather Craft".

"Semasa menjual barangan aksesori lelaki seperti beg dan tali pinggang, ada juga pelanggan yang tanya mengenai barangan kulit asli, di situ saya lihat ada permintaan terhadap produk buatan tangan.

"Sekitar 2016, saya berguru dengan seorang rakan yang sudah lama menghasilkan serta memiliki kedai barangan kulit buatan tangan sendiri, sejak itu perniagaan ini menjadi sumber pendapatan utama saya," katanya ketika ditemui di Wakaf Bharu, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Aunullah Zakwan berkata bemula sekadar menghasilkan sarung pemetik api, beliau kini sudah mampu menghasilkan pelbagai produk lain seperti dompet, sarung pisau, tali pinggang, rantai kunci, beg silang dan beg tangan wanita diperbuat daripada kulit kerbau.

Beliau berkata bekalan kulit diperoleh daripada pembekal di Kuala Lumpur serta dibeli secara dalam talian.

"Meskipun berubah bidang daripada jual produk siap kepada menghasilkan barangan kulit buatan tangan, kepuasan apabila tempahan pelanggan dapat disiapkan sukar digambarkan.

"Sebagai contoh, saya perlu memberi lebih tumpuan untuk menghasilkan satu-satu produk, contohnya dompet mengambil masa kira-kira dua hari untuk disiapkan, biarpun mengambil masa yang lama tetapi ia menyeronokkan," katanya yang berasal dari Wakaf Bharu.

Menurut Aunullah Zakwan, barangan kulit hasil tangannya dijual bermula harga RM20 sehingga paling mahal kira-kira RM700 bergantung pada jenis produk serta permintaan pelanggan.

"Paling murah yang saya jual ialah sarung pemetik api, manakala paling mahal pernah saya hasilkan ialah beg tangan wanita.

"Selain itu, pelanggan boleh tempah khas produk berdasarkan kehendak mereka, sebagai contoh boleh tambah slot di dalam dompet," katanya sambil menambah rata-rata pelanggan merupakan rakan-rakan serta pembeli dalam talian.

-- BERNAMA