IPOH: Seramai 16 individu berdepan detik cemas apabila bas ekspres yang dinaiki terbakar, di KM242.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, tengah malam tadi.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fawwaz Abdul Jamil berkata pihaknya mengerahkan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dan Meru Raya ke lokasi, sebaik menerima pangggilan pada kira-kira pukul 12.01 tengah malam.

"Dalam kejadian itu, sebuah bas ekspres telah terbakar dianggarkan sehingga 80 peratus.

"Kesemua 16 orang termasuk pemandu di dalam bas tersebut terselamat dan mereka telah dipindahkan ke bas yang lain sewaktu pasukan bomba tiba di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial facebook JBPM hari ini.

Mohd Fawwaz berkata pasukan bomba telah berjaya mengawal kebakaran pada pukul 12.51 tengah malam dan selesai sepenuhnya pada 1.34 pagi.

-- BERNAMA