Sebuah bas ekspres terbakar di Jalan Wakaf Raja berhampiran stesen minyak Shell di Tok Kamis, Pasir Puteh, kira-kira jam 4 petang tadi, di sini, hari ini.

Ketika kejadian, bas berkenaan tidak mempunyai penumpang namun tindakan pantas pemandu berusia 39 tahun yang keluar selepas melihat api di bahagian belakang bas berjaya menyelamatkannya daripada rentung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4 petang dan tujuh anggota bomba termasuk pegawai dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi kejadian, didapati sebuah bas ekspres sedang hangus terbakar.

"Bagi kerja-kerja pemadaman, anggota menggunakan bahan pemadam api jenis buih untuk membantu serta mengawal memadamkan api sepenuhnya.

"Dianggarkan bas ekspres itu terbakar 60 peratus membabitkan bahagian dalam serta bumbung," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa lapan minit untuk mengawal kebakaran sehingga terkawal dan operasi tamat pada jam 4.33 petang.