SIBU: Bas persiaran yang membawa 43 penumpang terlibat dalam kemalangan di Bulatan Kanowit, Sibu Jaya, awal pagi Isnin.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2.25 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya dikejarkan ke lokasi.
Jurucakap PGO Bomba Sarawak berkata, seramai 23 penumpang yang cedera terdiri daripada 19 wanita dan empat lelaki.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba bertindak menyelamatkan seorang penumpang wanita yang masih berada di dalam kenderaan, manakala 42 penumpang lain telah dibantu keluar oleh orang awam lebih awal.
“Petugas perubatan memberi rawatan awal di lokasi sebelum kesemua mangsa yang tercedera dipindahkan ke Hospital Sibu dan Hospital Kanowit untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Siasatan lanjut sedang dijalankan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan berkenaan. - Sinar Harian