KUALA LUMPUR: Negara kini harus memikirkan ke hadapan dalam isu semakan semula undang-undang berkenaan kes Pulau Batu Puteh yang diumum baru-baru ini.

Penganalisis undang-undang antarabangsa Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Datuk Dr Rahmat Mohamad berkata, isu itu bukanlah isu rayuan tetapi kes semakan atau kaji semula penghakiman yang dibuat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dengan syarat-syarat ICJ sekiranya negara ingin mendapatkan balik pulau berkenaan.

"Pertama, Singapura akan memulakan projek penambakan tanah di sekeliling Batu Puteh pada bulan November ini. Malaysia seharusnya meminta penjelasan kerana sudah ada isu melanggari duluan (precedent) di mana Tribunal Undang-Undang Laut Antarabangsa (ITLOS) memutuskan Singapura mestilah memberitahu Malaysia tentang projek tambah tanah di Pulau Tekong.

"Dalam hal ini seharusnya Malaysia meminta penjelasan secara rasmi tentang projek tambak tanah di Batu Puteh. Di dalam kes tersebut juga ITLOS menyarankan perlu ada satu jawatankuasa bersama secara teknikal

"Malaysia juga harus memikirkan tentang kedudukan Tubir Selatan sebagai sebahagian dari wilayah negara. Ini tidak diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang ditubuhkan untuk membantu kedua-dua kerajaan dari segi alam sekitar dan isu-isu saintifik yang boleh membawa impak kepada kedua-dua negara," katanya ketika menghubungi Astro AWANI pada Isnin.

BACA: Pasukan petugas khas diwujudkan, semak semula kes Pulau Batu Puteh - PM

BACA: 
[KOLUMNIS] Batu Puteh: Hanyut di perairan tak berbatas

Pada Sabtu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa Jemaah Menteri pada Jumaat bersetuju untuk mewujudkan sebuah pasukan petugas khas berhubung kes Pulau Batu Puteh.

Menurut beliau, penubuhan itu bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Dalam pada itu jelas Dr Rahmat, kes Batu Puteh sebenarnya sudah muktamad.

"Di bawah Artikel 61, Statut Mahkamah Antarabangsa telah meletakkan satu cabaran yang besar pada Malaysia untuk mengkaji penghakiman asal Batu Puteh yang sudah melangkaui 10 tahun di mana Malaysia mesti membuktikan fakta yang tidak ditimbulkan semasa kes asal itu dibicarakan di ICJ dahulu.

"Oleh kerana Malaysia menarik balik kes kajian semula pada 18 Mei 2018 maka negara terlepas peluang tersebut," ujarnya.

Tambahnya, Malaysia kini harus memikirkan tentang aktiviti yang membuktikan kawalan efektif di kedua-dua batuan tersebut kerana asas inilah yang menjadi sebab kemenangan kepada Singapura walaupun ICJ memutuskan Batu Puteh adalah hak milik dan patuh kepada kesultanan Johor.

"Malangnya Malaysia tidak berbuat apa-apa untuk menunjukkan Batu Puteh adalah di bawah kawalan kita.

"Adalah lebih baik kedua-dua negara bekerjasama untuk kemajuan serta kemakmuran bersama," katanya.

Pada 2018, kerajaan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.