PADA tahun 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah menyerahkan kedaulatan ke atas Batu Puteh (Pedra Branca) kepada Singapura manakala Batuan Tengah (Middle Rocks) kekal bersama Malaysia.

Kedua-dua batu maritim ini terletak di penghujung timur Selat Singapura menuju bukaan ke Laut China Selatan. ICJ tidak membuat sebarang keputusan ke atas Tubir Selatan.

Perkara 3 Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Undang-undang Laut 1982 membenarkan negara-negara pesisir menuntut wilayah laut sehingga 12 batu nautika (kira-kira 22km) diukur dari garis dasar.

Dewasa ini, Singapura telah mengumumkan rancangan negara tersebut untuk memulakan kerja-kerja pembangunan di Batu Puteh yang akan bermula pada akhir 2021.

BACA: Kenyataan Apandi 'Malaysia tidak berminat dengan Batu Puteh' adalah salah - AGC

BACA: Singapura alu-alukan cadangan kerjasama keselamatan sekitar Pulau Batu Puteh

Projek ini melibatkan penambakan tanah di kawasan perairan sekitar Batu Puteh, yang dituntut sebagai sebahagian daripada wilayah maritim Singapura.

Malaysia dan Indonesia turut memiliki hak maritim di kawasan yang sama.

Ini kerana Batuan Tengah yang menjadi milik Malaysia terletak hanya 600 meter dari Batu Puteh manakala Pulau Bintan, Indonesia yang berjarak lebih kurang 21km dari Batu Puteh, masih berada di ruang lingkup kawasan maritim boleh dituntut oleh Indonesia sebagai wilayah lautnya berdasarkan peruntukan Perkara 3 LOSC.

Malaysia dan Singapura masih belum lagi menyelesaikan tuntutan bertindih di kawasan perairan sekitar Batu Puteh dan Batuan Tengah.

Berdasarkan laporan akhbar The Straits Times, perbincangan terakhir berkaitan persempadanan maritim telah dilakukan pada Januari 2020, dua bulan sebelum Virus Wuhan atau COVID-19 menjadi wabak yang mencengkam dunia.

Mengambil pertimbangan daripada keadaan semasa, adalah amat penting bagi Malaysia dan Singapura untuk menetapkan sempadan maritim yang jelas terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang kerja penambakan tanah atau pembangunan di Batu Puteh atau Batuan Tengah, terutama sekali apabila sempadan perairan di antara kedua-dua negara masih belum lagi jelas.

Apabila ICJ berkeputusan bahawa Batu Puteh bersama Singapura dan Batuan Tengah dijadikan wilayah Malaysia, Mahkamah Dunia ini tidak menetapkan milik siapakah kedaulatan ke atas perairan di antara dua batuan maritim ini.

Malaysia dan Singapura telah berhasil dalam menetapkan garis sempadan maritim sepanjang 93km di antara Malaysia dan Singapura di Selat Johor, membentang dari Tuas sehingga ke Pengerang.

Perjanjian asal berkaitan perkara ini telah dimaterai di antara Kerajaan British di Singapura dengan Sultan Johor pada tahun 1927.

Pada tahun 1995, Malaysia dan Singapura menandatangani satu lagi perjanjian menetapkan dengan jelas sempadan di Selat Johor di antara kedua-dua negara.

Apabila sempadan maritim sudah ditetapkan menerusi perjanjian antarabangsa, had sempadan wilayah kekal tidak berubah walaupun berlakunya kerja-kerja penambakan tanah yang boleh mengubah bentuk geografi kawasan pesisir.

BACA: Johor digesa nyata pendirian isu Batu Puteh

BACA: Pulau Batu Puteh: Singapura dimaklumkan Malaysia tidak teruskan prosiding

Malaysia dan Singapura telah sejak beberapa tahun yang lalu menjalankan aktiviti penambakan tanah di Selat Johor.

Sebagai contoh, Singapura telah melaksanakan kerja-kerja penambakan secara besar-besaran di sudut timur Selat Johor berdekatan Pulau Tekong.

Malaysia pula telah menjalankan projek penambakan dekat Bandaraya Johor Bahru bagi membina kota pesisir yang moden.

Memandangkan Perjanjian 1995 telah menetapkan dengan jelas batas sempadan maritim di antara Malaysia dan Singapura di Selat Johor, batas ini kekal tidak berubah melainkan kedua-dua negara bersetuju meminda perjanjian tersebut.

Walaubagaimanapun, situasi ini tidak sama bagi Batu Puteh dan Batuan Tengah berdasarkan fakta bahawa batas maritim di antara Malaysia dan Singapura di kawasan ini belum lagi ditetapkan.

BACA: ICJ dan Batu Puteh: Jangan buat kerbau tanduk panjang

Singapura boleh menuntut hak maritim di kawasan tersebut dan begitu juga keadaannya bagi Malaysia, kerana kedua-dua Batu Puteh dan Batuan Tengah terletak hanya sekadar 600 meter di antara satu sama lain.

Bagi mengelakkan pertikaian lanjutan, adalah dicadangkan agar kedua-dua negara menangguhkan dahulu sebarang kerja penambakan dan pembangunan untuk Batu Puteh dan Batuan Tengah sehingga sempadan maritim yang jelas sudah termaterai di antara Malaysia dan Singapura.

Sekiranya permasalahan sempadan maritim ini tidak diselesaikan hingga tuntas, kedua-dua negara akan terus ‘hanyut di perairan tak berbatas’.


*Profesor Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia yang juga felo bersekutu kanan di Asian Institute of International Affairs and Diplomacy (AIIAD), Universiti Utara Malaysia.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.