Kerajaan telah memutuskan agar penggunaan sejadah sendiri untuk menunaikan ibadah di masjid tidak lagi diwajibkan, bagaimanapun jemaah masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mengambil kira rayuan orang ramai menerusi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Al Bakri, kerajaan telah bersetuju melonggarkan syarat tersebut.

“Setelah mendapat pandangan KKM, kita telah bersetuju untuk melonggarkan syarat tersebut di mana membawa sejadah tidak menjadi satu perkara yang wajib.

“Bagaimanapun, kita masih menggalakkan orang ramai untuk membawa sejadah sendiri, dan pelitup muka masih diwajibkan,” katanya ketika sidang media hariannya pada Selasa.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan tentang kebenaran bagi warga asing untuk menunaikan ibadah di masjid dan surau telah dibenarkan bermula 1 September.

“Kita terima banyak rayuan berhubung perkara ini dan sebelum ini kita hanya benarkan pegawai diplomat dan duta sahaja untuk solat di masjid.

“Jadi, kerajaan bersetuju untuk membenarkan warga asing solat berjemaah bermula 1 September tetapi mereka juga perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau turut menyarankan pihak masjid agar sentiasa mengambil langkah proaktif dalam mengawal penularan COVID-19 dengan menggalakkan penjualan pelitup muka di pintu masuk masjid.

Kerajaan turut membenarkan pihak masjid untuk menyediakan kertas pelapik jenis pakai buang sebagai pengganti kepada sejadah sekiranya terdapat pihak masjid yang merasakan perlu bagi pelaksanaan itu.