PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menafikan bayaran fi kepada firma perunding PEMANDU bagi urusan perancangan strategik dan bengkel hala tuju MITRA menggunakan peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA).

Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang berkata bayaran fi kepada firma berkenaan adalah melalui peruntukan operasi kementerian dengan mengikut tatacara kewangan sedia ada iaitu Pekeliling Perbendaharaan Malaysia PK 3.2.

"Saya menafikan bahawa bayaran fi kepada firma ini menguna pakai peruntukan MITRA.

"Saya ingin menafikan juga dakwaan bahawa PEMANDU akan mengendalikan proses penelitian permohonan, bantuan kewangan dan agihan peruntukan MITRA," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penglibatan PEMANDU adalah hanya untuk melaksanakan bengkel dan lab yang akan memudah cara urusan KPN berhubung perancangan strategik dan hala tuju MITRA bagi menghasilkan Blueprint MITRA.

Selain itu, beliau berkata penglibatan firma PEMANDU tidak menenggelamkan peranan Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran selaku Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) MITRA.

"Hal ini kerana, Pengerusi JPPK MITRA telah turut libat sama dalam dua perbincangan bersama PEMANDU. Saya sentiasa mengalu-alukan dan mengutamakan penglibatan Pengerusi JPPK MITRA dalam urusan ini," katanya.

Sebagai kementerian yang bertanggungjawab atas tadbir urus dan hala tuju MITRA, Aaron berkata satu Bengkel Penetapan Hala Tuju Baharu MITRA akan diadakan pada Mac dan April ini bersama Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, badan bukan berajaan, persatuan belia, dan tokoh korporat.

Ketika ini, KPN menjalankan Kaji Selidik Hala Tuju Masyarakat India dan empat Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri telah mengisi borang kaji selidik ini setakat semalam.

"Segala pandangan dan cadangan dikemukakan dalam kaji selidik ini akan diangkat untuk dimurnikan dalam bengkel hala tuju. Saya mohon agar semua pihak mengambil bahagian dalam kaji selidik ini dengan memberikan pandangan, cadangan dan idea berhubung hala tuju MITRA," katanya.

-- BERNAMA