KUALA LUMPUR : Kumpulan Astro Holdings Berhad memaklumkan bahawa bayaran tokok (surcaj) 50 sen bagi pembayaran bil Astro adalah dikenakan oleh pihak ketiga.

Ia termasuk caj tambahan yang dikenakan oleh Pos Malaysia menerusi perkhidmatan yang disediakan mereka.

Menerusi satu kenyataan, Astro memaklumkan kutipan bayaran oleh pihak ketiga itu adalah bagi menawarkan lebih banyak medium pembayaran kepada para pengguna.

Bagaimanapun, pelanggan Astro boleh membuat bayaran menerusi auto-debit, WhatsApp, Astro Quick Pay dan saluran pembayaran rasmi lain tanpa dikenakan bayaran tambahan.

Terdahulu di Dewan Rakyat, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, para pelanggan dan pengguna Astro mempunyai alternatif untuk membayar bil tanpa dikenakan caj 50 sen terhadap perkhidmatan, termasuk melalui platform secara dalam talian.

Katanya, caj perkhidmatan sebanyak 50 sen bagi pembayaran bil Astro telah dilaksanakan oleh ejen pembayaran Astro sejak Januari lalu.

"Caj perkhidmatan bagi urus niaga pembayaran bil adalah berbeza bergantung kepada jenis dan tahap perkhidmatan yang ditawarkan, atas persetujuan bersama secara komersial," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) yang mencadangkan agar caj 50 sen dimansuhkan dan ditanggung oleh pihak Astro.

BACA: Pelanggan Astro ada pilihan bayaran elak caj perkhidmatan - Annuar Musa