Skip to main content

Malaysia

Bayi 13 bulan maut, ibu dan pengasuh ditahan bantu siasatan

PDRM
Seorang bayi lelaki berusia 13 bulan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Kampung Melayu, Air Itam pada Selasa lepas.
Advertisement

GEORGE TOWN: Seorang bayi lelaki berusia 13 bulan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Kampung Melayu, Air Itam di sini pada Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 5.16 petang yang memaklumkan mengenai kematian bayi itu.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa ditemukan oleh pengasuhnya pada 2 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan bibir kebiruan.

“Mangsa kemudian dibawa ke HPP oleh ibu dan pengasuhnya pada 2.45 petang namun disahkan meninggal dunia pada 3.33 petang setelah diberikan rawatan kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rozak berkata polis menahan pengasuh, seorang wanita berusia 44 tahun dan ibu kandung mangsa bagi membantu siasatan.

Beliau berkata bedah siasat terhadap mangsa dijalankan semalam, namun punca kematian masih belum dapat dipastikan sementara menunggu keputusan analisis makmal dengan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Pengasuh direman tujuh hari bermula semalam hingga 15 Sept manakala ibu mangsa direman tiga hari hingga esok bagi membantu siasatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement