Skip to main content

Sukan

Terjun: Gandingan Rui Jie-Nurqayyum terlepas podium Terbuka Malaysia

Yong Rui Jie-Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim beraksi pada Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia Keempat 2026 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 31 Okt 2026. --fotoBERNAMA
Yong Rui Jie-Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim beraksi pada Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia Keempat 2026 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 31 Okt 2026. --fotoBERNAMA

Advertisement

Advertisement

KUALA LUMPUR: Gandingan muda negara Yong Rui Jie-Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim terlepas peluang menaiki podium pada Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia Keempat 2026 selepas menamatkan saingan di tempat keempat acara papan anjal 3 meter (m) seirama lelaki di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, di sini semalam.

Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 itu mengumpul 349.20 mata, sekali gus gagal menyaingi pasangan Amerika Syarikat, Quentin Henninger-John Ryan yang meraih emas dengan 383.49 mata.

Pingat perak menjadi milik gandingan Rusia, Aleksandr Cherepakhin-Aleksandr Kalashnikov dengan 365.19 mata, manakala pasangan Jepun, Rikuto Tamai-Senri Ikuma membawa pulang gangsa selepas mencatat 362.55 mata.

Advertisement

Nurqayyum Nazmi, 20, berkata mereka mempamerkan aksi konsisten sepanjang enam pusingan tanpa melakukan kesilapan besar, namun mengakui perbezaan tahap kesukaran terjunan berbanding pasangan yang meraih pingat menjadi faktor penentu keputusan pertandingan.

“Perbezaan tahap kesukaran terjunan antara kami dengan pasangan terbaik agak ketara apabila mereka melakukan terjunan dengan tahap kesukaran 3.4, manakala kebanyakan terjunan kami di bawah tahap itu.

Advertisement

“Kami juga sedar saingan Terbuka Malaysia tahun ini lebih mencabar berbanding tahun lepas berikutan penyertaan penerjun handalan dari negara seperti Amerika Syarikat, Rusia dan Jepun,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Rui Jie, 20, berkata mereka tidak terlalu kecewa dengan keputusan berkenaan kerana kejohanan itu memberi peluang kepada mereka untuk mengukur prestasi serta mengenal pasti kelemahan apabila bersaing dengan penerjun dari negara kuasa besar sukan terjun dunia.

Terdahulu, dua penerjun negara, Lee Yiat Qing dan Hui Xue Teng masing-masing menamatkan saingan di tempat ke-11 dan ke-12 dalam acara papan anjal 3m wanita.

Yiat Qing mengumpul 229.30 mata, manakala Xue Teng menduduki tempat terakhir dengan 203.05 mata.

Penerjun Jepun, Sayaka Mikami mengungguli acara itu selepas mengumpul 300.40 mata untuk meraih emas, diikuti dua wakil Amerika Syarikat, Sophie Verzyl (295.70 mata) dan Kristen Hayden (286.70 mata) yang masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.

Kejohanan tiga hari itu akan melabuhkan tirainya hari ini.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement