PUTRAJAYA: Seorang bayi yang lahir pada 2023 secara purata dijangka hidup sehingga 74.8 tahun, menurut Jadual Hayat Ringkas, Malaysia, 2021-2023 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Menurut laporan berkenaan, secara purata seorang bayi perempuan lahir pada 2023 dijangka boleh hidup sehingga 77.4 tahun, lebih lama berbanding bayi lelaki pada 72.5 tahun.

Laporan berkenaan mengandungi jadual hayat ringkas mengikut kumpulan umur, kumpulan etnik dan jantina di Malaysia dan negeri bagi 2021-2023. Ia juga membentangkan jangkaan hayat ketika lahir mengikut jantina bagi 156 daerah pentadbiran.

Mengulas mengenai laporan itu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan berkata jangka hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut negeri bagi tempoh 2021 hingga 2023 dicatatkan di Selangor manakala Terengganu mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah pada tempoh sama.

"Jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut daerah pentadbiran bagi 2023 dicatatkan di Petaling, Selangor (80.5 tahun) manakala Samarahan, Sarawak mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi 2022 (79.6 tahun) dan 2021 (79.8 tahun).

"Kecil Lojing, Kelantan mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah pada 2023 (62.8 tahun) dan 2022 (63.2 tahun) manakala Kuala Penyu, Sabah mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah pada 2021 (64.2 tahun)," katanya.

Mohd Uzir berkata seorang lelaki mencapai umur 15 dan 60 tahun pada 2023 masing-masing dijangka hidup selama 58.3 tahun dan 18.3 tahun lagi, bermakna lelaki berumur 15 tahun dan 60 tahun pada 2023 masing-masing dijangka hidup sehingga berusia 73.3 tahun dan 68.3 tahun.

Sebaliknya, wanita dalam kumpulan umur sama dijangka hidup selama 63.1 tahun dan 21.1 tahun lagi, menghasilkan jangka hayat masing-masing 78.1 tahun dan 81.1 tahun, katanya.

-- BERNAMA