SEREMBAN: Pengurusan kes inkues untuk menentukan punca kematian kanak-kanak perempuan berusia setahun tiga bulan yang meninggal dunia di sebuah pusat jagaan di sini, ditetapkan semula pada 29 Jun ini di hadapan hakim Mahkamah Koroner.

Hakim Mahkamah Sesyen Rushan Lutfi Mohamed menetapkan tarikh itu, selepas mahkamah dimaklumkan hakim koroner yang sepatutnya mengendalikan inkues itu bercuti kerana masalah kesihatan.

Terdahulu Pegawai Pengendali inkues yang juga Pengarah Pendakwaan negeri Badius Zaman Ahmad, ketika prosiding berkata pihaknya mencadangkan sekurang-kurangnya 10 saksi dipanggil dan memerlukan selama tujuh hari bagi inkues tersebut.

Sementara itu peguam pemerhati yang dilantik oleh keluarga mangsa Muhammad Amin Anuar memaklumkan, pihaknya juga bercadang untuk memanggil 10 saksi bagi memberi keterangan sepanjang prosiding itu.

BACA: Bayi maut di buaian: Bapa dakwa anak dijerut, polis tunggu arahan pendakwaan

Selain itu, beliau turut meminta mahkamah untuk membenarkan pihaknya mendapatkan senarai saksi pihak pendakwaan, bagi mengelakkan percanggahan serta dokumen berkaitan prosiding termasuk laporan forensik, kimia, patologi dan hasil bedah siasat mangsa.

Pada 22 Feb lepas, kanak-kanak perempuan itu dilaporkan meninggal dunia selepas kepalanya dipercayai tersangkut pada kain buaian, di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di Bandar Sri Sendayan.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata Nour Rania Asyifaa Yuseri disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Sendayan oleh pegawai perubatan pada 4.30 petang, selepas seorang wanita yang juga pengasuhnya membawa mangsa ke klinik itu untuk rawatan.

-- BERNAMA