KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan enam hari meninggal dunia di rumah pengasuhnya di Presint 15, Putrajaya, pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, bayi malang itu baru sahaja dihantar selama dua hari ke rumah pengasuh tersebut.

Kata Asmadi, pihaknya menerima laporan daripada Pegawai Perubatan Hospital Putrajaya pada 1.04 petang, pada Selasa.

"Difahamkan, pengadu menerima bayi berkenaan yang dibawa pengasuh pada 11.45 pagi, namun semasa tiba di zon merah bayi dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tiada tanda hidup.

"Pengasuh turut memaklumkan telah melakukan bantuan pernafasan sejak dari rumah dan diteruskan di unit kecemasan selama 30 minit namun bayi itu tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada jam 12.16 tengahari," katanya kepada Astro AWANI, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Asmadi berkata, hasil pemeriksaan fizikal ke atas bayi itu tidak menemui sebarang kesan kecederaan justeru mangsa dirujuk ke Jabatan Forensik Hospital Putrajaya untuk bedah siasat, pada Rabu.

Asmadi turut memaklumkan, polis telah merakaman percakapan daripada kedua ibu bapa mangsa dan pengasuh.

"Bapa mangsa memaklumkan anaknya dihantar ke rumah pengasuh ketika hari kejadian dalam keadaan tidak sihat kerana mengalami batuk seminggu sebelum ini.

"Ibu mangsa pula berkata, Isnin lalu, anaknya telah dihantar ke sebuah Klinik di Presint 18 untuk pemeriksaan kesihatan dan telah dimaklumkan doktor bahawa keputusan X-Ray menunjukkan mangsa tidak mengalami sebarang masalah.

"Ibunya memaklumkan, doktor di klinik itu memberikan ubat batuk dan ubat gatal dan dia hanya memberikan ubat batuk kepada anaknya itu," katanya.

Asmadi berkata, rakaman percakapan pengasuh pula mendapati, dia menjaga empat orang kanak-kanak termasuk mangsa.

"Bayi berkenaan dihantar pada jam 8 pagi oleh ibunya dan berada dalam keadaan hendak tidur dan tiada masalah namun dia dimaklumkan bahawa mangsa ada sedikit batuk dan kemungkinan berkahak.

"Selepas solat Duha, pengasuh menyedari mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri apabila mahu dikejutkan untuk menyusu.

"Pengasuh turut melakukan bantuan pernafasan kepada mangsa namun mendapati terdapat sedikit darah keluar di lubang hidung kiri bayi itu," katanya.

Asmadi berkata, pengasuh itu terus menghubungi talian kecemasan dan memaklumkan kepada ibu bapanya lalu membawa mangsa ke Hospital Putrajaya dengan segera.

"Difahamkan, pengasuh pernah mengikuti kelas bantuan pernafasan beberapa kali semasa bekerja di sebuah hotel sebelum ini.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga keputusan bedah siasat diperoleh," ujarnya.