KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin akan didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa, atas satu pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948.

Ketika ditemui di luar Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, dia yang lebih dikenali sebagai Che'gu Bard, 45, berkata, ia dipercayai berhubung kenyataannya mengenai isu kasino di Forest City, Johor.

Sedangkan, katanya, hantaran di laman sosial, Facebook itu ialah berhubung pembukaan kasino yang dilaporkan beberapa media antarabangsa.

Badrul Hisham berkata, disebabkan hantaran berkenaan, dia akan diheret ke muka pengadilan, namun berbeza dengan laporan media antarabangsa yang tidak diusik sehingga ke hari ini.

“AMK (Angkatan Muda Keadilan) tidak membuat laporan polis terhadap media itu, tetapi saya yang bangkitkan isu ini pula dibawa ke mahkamah.

“Ini bukan soal Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya isu maruah Malaysia dan implikasi terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Jadi, Peguam Negara perlu bertindak (terhadap media asing itu),” kata Badrul Hisham, selepas selesai membayar ikat jamin sebanyak RM20,000 berhubung dua kes memfitnah dan menghasut.

Pada Isnin, dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pertama, membuat penerbitan menghasut di Facebook, atas nama 'Che’gubard', di Taman Bukit Cheras, pada jam 12.15 tengah hari, 6 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi kes kedua, Pengarah Operasi Jabatan Pilihanraya Bersatu Johor itu dituduh mengeluarkan kenyataan fitnah, yang mana dia mempunyai sebab mempercayai bahawa kenyataan itu akan merosakkan nama baik Agong, di Istana Negara, di sini, pada jam 6 petang, 22 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Badrul Hisham berkata, pihaknya belum menerima maklumat mengenai seksyen yang akan dipertuduhkan kelak.

“Kami akan tahu lebih lanjut mengenai kes itu pagi esok, namun jika dimaklumkan lebih awal, kita akan kongsikannya dengan pihak media.

“Reman terhadapnya telah tamat, malah dia telah membayar ikat jamin (bagi kes memfitnah dan menghasut di Kuala Lumpur) maka dia sendiri akan bertolak ke Johor, sebentar lagi,” katanya.

Muhammad Rafique berkata, pihaknya percaya mereka (pihak berkuasa) ingin meneruskan siri-siri siasatan dan ada kemungkinan membabitkan tangkapan lain.

Katanya, ia disebabkan ramai akan dan telah dipanggil untuk membantu menyelesaikan kes berkaitan.

Bagaimanapun, beliau berkata, anak guamnya akan bersedia kerana hak rakyat adalah untuk mengkritik, tetapi ia tidak bermaksud mahu menipu atau menfitnah. -Sinar Harian