Bazar Deepavali di Little India Melaka selama dua minggu bermula 7 Okt

Program tahunan yang dilakukan bagi mengurangkan beban keluarga terlibat dalam membuat persiapan Deepavali sekali gus memberi sinar kegembiraan kepada anak-anak. - Gambar hiasan/BERNAMA
MELAKA: Bazar Deepavali sempena sambutan perayaan pesta cahaya di Melaka mula beroperasi di Little India Melaka, Jalan Bendahara di sini selama dua minggu bermula 7 Okt lepas.
Pengerusi MIC Melaka Datuk VP Shanmugam berkata bazar terbabit menempatkan 40 gerai jualan pakaian, pelbagai jenis makanan serta manisan tradisional masyarakat India.
"Bazar Deepavali adalah acara tahunan yang dinanti-nantikan bukan sahaja oleh masyarakat India untuk membuat persiapan sempena sambutan perayaan itu, tetapi juga kaum lain kerana pelbagai jenis makanan dijual seperti pani puri dan muruku.
"Selain bazar, Pesta Deepavali membabitkan persembahan kesenian dan kebudayaan masyarakat India juga akan berlangsung pada selama lima hari bermula 14 Okt ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.Shanmugam yang juga Exco Belia, Sukan dan NGO negeri berkata kemuncak Pesta Deepavali berkenaan turut menampilkan persembahan artis tempatan seperti Zubir Khan pada 17 Okt dan acara itu dijangka dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata sempena Deepavali juga, sebanyak 84 murid dari sekolah Tamil sekitar Melaka terdiri daripada anak yatim dan anak keluarga B40 dibawa membeli pakaian baharu bagi menyambut perayaan itu.
Bantuan berkenaan, katanya adalah program tahunan yang dilakukan bagi mengurangkan beban keluarga terlibat dalam membuat persiapan Deepavali sekali gus memberi sinar kegembiraan kepada anak-anak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek itu berkata Jualan Rahmah MADANI sempena Deepavali juga akan dianjurkan di Japerun Gadek dan Jalan Rezab Kampung Ganun pada esok (11 Okt) bermula 8 pagi.
Beliau berkata pelbagai barangan dijual pada harga lebih murah antaranya ayam segar iaitu RM8 seekor.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami