IPOH: Beberapa dokumen berkaitan Bahagian D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) di pejabat operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak turut musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya akan meminta bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh dan lain-lain bahagian dari segi pelaporan diperlukan untuk membantu Bahagian D4 mendapatkan semula dokumen yang telah musnah.

Beliau berkata kebakaran turut membabitkan beberapa dokumen lain, namun ketika ini pihaknya tidak dapat lagi memastikan tahap kemusnahan dokumen berkenaan.

"Setakat ini siasatan mengenai kebakaran oleh pihak forensik bomba di tempat kejadian masih berjalan dan kita belum dapat memasuki kawasan kebakaran terbabit," katanya pada sidang media di perkarangan IPK Perak di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata pihaknya akan meminta Jabatan Kerja Raya dan Tenaga Nasional Berhad untuk bekerjasama dengan bomba bagi mengenal pasti tahap keselamatan di samping lain-lain laporan berkaitan siasatan kebakaran berkenaan.

Semalam, pejabat operasi JSJ IPK Perak yang terletak di Jalan Iskandar di sini terbakar kira-kira pada pukul 3.15 petang.

Timbalan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata bomba menerima panggilan pada pukul 3.14 petang dan pasukan bomba dari dua balai berhampiran dihantar ke lokasi kejadian.

Beliau berkata kebakaran melibatkan pejabat JSJ di tingkat dua yang berkeluasan 50 kaki x 20 kaki dengan anggaran terbakar kira-kira 40 peratus.

Menurut beliau keluasan bangunan tiga tingkat berkenaan ialah 120 kaki x 20 kaki dan kebakaran tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.

-- BERNAMA