Skip to main content

Bisnes

Malaysia terus tarik pelaburan pusat data, AI pacu ekonomi digital

https://www.digitalrealty.com/about/newsroom/press-releases/19966/digital-realty-enters-malaysia-strengthening-southeast-asia-s-digital-backbone
Malaysia dirancang untuk dijadikan sebagai hab utama dalam rangkaian infrastruktur digital globalnya, selain membangunkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi.

KUALA LUMPUR: Malaysia terus menarik minat pelabur global dalam sektor pusat data dan kecerdasan buatan (AI) susulan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan digital di rantau ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Asia Pasifik Digital Realty, Serene Nah berkata, keyakinan pelabur terhadap Malaysia semakin kukuh dalam pembangunan infrastruktur digital negara.

Serene berkata, Digital Realty mengumumkan pengembangan operasinya di Malaysia menerusi kampus di Cyberjaya yang bakal menyokong kapasiti sehingga 32 megawatt bagi memenuhi keperluan pelanggan tempatan dan antarabangsa.

“Malaysia telah membina keyakinan kukuh dalam usaha membangunkan infrastruktur digital yang menyokong transformasi digital, komputasi awan dan kini kecerdasan buatan,” katanya.

Menurut Serene, pertumbuhan ekonomi digital negara, dasar kerajaan yang menyokong serta ekosistem sambungan yang kukuh di Cyberjaya menjadikan Malaysia destinasi menarik bagi pelaburan berasaskan AI.

Permintaan terhadap pemprosesan data, storan dan sambungan dijangka terus meningkat sejajar dengan perkembangan pesat teknologi AI.

Walaupun pusat data sering beroperasi di belakang tabir, kemudahan itu memainkan peranan penting dalam menyokong aktiviti digital harian termasuk perbankan dalam talian, penstriman video, e-dagang serta aplikasi AI.

“Setiap kali kita menggunakan telefon untuk perbankan, menonton video atau membeli secara dalam talian, semua data itu diproses melalui pusat data,” jelas Serene.

Namun, perkembangan pesat industri ini turut menimbulkan kebimbangan terhadap penggunaan tenaga, air serta impak terhadap alam sekitar.

Serene menegaskan aspek kelestarian menjadi keutamaan dengan langkah kecekapan tenaga dilaksanakan dari peringkat reka bentuk hingga operasi harian.

“Hari ini, 93 peratus daripada portfolio global kami dilindungi oleh tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Malaysia dirancang untuk dijadikan sebagai hab utama dalam rangkaian infrastruktur digital globalnya, selain membangunkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi.

“Kami mahu mengembangkan tenaga kerja tempatan dan melatih mereka,” katanya.

Perkembangan ini dilihat sebagai antara pemacu utama dalam usaha Malaysia untuk muncul sebagai ekonomi digital terkemuka di Asia Tenggara.

Must Watch Video

Advertisement