PETRINJA:Beberapa siri gempa susulan berlaku di bandar Croatia sehari selepas gempa bumi berukuran 6.4 magnitud yang turut menyebabkan tujuh maut, manakala puluhan yang lain cedera serta kerosakan teruk di beberapa perkampungan.

Gempa susulan dengan gegaran paling kuat berukuran 4.7 magnitud dilaporkan pada pagi Rabu berhampiran bandar Petrinja yang mengalami kerosakan teruk.

Susulan bencana itu, kebanyakan penduduk terpaksa bermalam di dalam khemah, dalam kenderaan atau kubu kecemasan yang dibangunkan oleh tentera.

Bekalan air juga diberi kepada penduduk sebagai bekalan bermalam.

Namun, hujan lebat yang melanda kawasan tersebut menambah kesukaran kepada mereka yang terjejas.

BACA: Gempa bumi 6.4 skala Richter landa Croatia, sekurang-kurangnya satu maut, ratusan cedera

Sebelum ini, pihak berkuasa memaklumkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun antara yang maut akibat kejadian itu.

Lima yang lain ditemui maut dalam perkampungan yang musnah di bandar tersebut dan 26 yang lain masih dirawat di hospital.