Beberapa tokoh terkenal antarabangsa yang bukan daripada kalangan ahli politik telah dikenal pasti sebagai calon Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang baharu, kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Maszlee, yang dilaporkan bersetuju melepaskan jawatan Presiden UIAM yang mencetuskan kontroversi itu, berkata nama-nama calon itu akan dipersembahkan kepada Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

"Bakal Presiden UIAM mesti terkenal di peringkat antarabangsa dan mempunyai reputasi yang tinggi," katanya selepas melakukan tinjauan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16 (1), di sini hari ini.

Maszlee dilaporkan berkata beliau bersetuju melepaskan jawatan sebagai Presiden UIAM dan menunggu sehingga istiadat konvokesyen UIAM, yang sedang berlangsung berakhir, sebelum memberi laluan kepada pengganti yang bakal dilantik.

Dalam perkembangan lain, Maszlee menafikan berita berhubung rombakan Kabinet melibatkan beliau dan menyifatkannya sebagai hanya satu khabar angin bagi mengalihkan kes siasatan berprofil tinggi sebelum ini.

Maszlee berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah meminta beliau agar merombak kokurikulum pelajaran pada pertemuan baru-baru ini.

"Beliau minta saya rombak kokurikukum dan bukannya pasal Kabinet. Takkan perkara yang memerlukan komitmen empat tahun, hendak rombakan Kabinet pula," katanya.

Sebuah portal sebelum ini melaporkan Perdana Menteri akan melakukan rombakan Kabinet bulan depan kerana tidak berpuas hati dengan prestasi beberapa menteri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Portal itu mendakwa nama Maszlee dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun antara bakal digugurkan.

-- BERNAMA