GEORGE TOWN: Di sebalik kepesatan sistem pengangkutan moden dan dominasi perkhidmatan e-panggilan, beca terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara ikon pelancongan paling sinonim dengan Pulau Pinang, dengan menawarkan pengalaman unik yang menghubungkan pelancong dengan sejarah, budaya dan warisan George Town.
Meskipun bukan lagi pengangkutan pilihan penduduk tempatan, beca kini berkembang menjadi produk pelancongan yang bernilai tinggi, khususnya di sekitar Lebuh Armenian dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO, sekali gus menjadi sumber rezeki kepada pengayuh yang masih setia mempertahankan warisan itu.
Bagi pengayuh beca yang mahu dikenali sebagai Chiko, 70, berkata profesion yang diceburinya sejak lebih empat dekad lalu bukan sekadar mencari nafkah, malah menjadi amanah untuk memastikan identiti pelancongan Pulau Pinang terus hidup dan dihargai generasi akan datang.
Anak jati Pulau Pinang berbangsa Cina itu, boleh bertutur dalam 16 bahasa termasuk bahasa Inggeris, Perancis, Arab, Tamil dan Greek, hasil pengalaman enam tahun bekerja sebagai pemandu kapal yang membawanya mengelilingi dunia, sebelum memilih menjadi pengayuh beca.
Keupayaan itu, membolehkan beliau berinteraksi dengan pelancong dari pelbagai negara sambil berkongsi kisah di sebalik bangunan warisan, lorong-lorong bersejarah dan kepelbagaian budaya yang menjadikan George Town diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
“Saya belajar bahasa asing untuk berkomunikasi dengan orang ketika bekerja sebagai pemandu kapal dan sejak 40 tahun lepas sehingga sekarang, saya gunakan kelebihan boleh bertutur itu untuk menarik pelancong asing menaiki beca bagi melihat bandar George Town.
“Kebanyakan pelanggan terdiri daripada pelancong asing yang sememangnya mencari pengalaman menaiki beca, bagi menikmati suasana bandar warisan itu dengan lebih dekat,” katanya ketika ditemui Bernama di Lebuh Armenian di sini.
Chiko berkata musim paling sibuk ialah apabila kapal persiaran berlabuh di Pulau Pinang, terutama pada penghujung tahun, apabila ramai pelancong asing membanjiri bandar warisan itu.
Walaupun pendapatannya bergantung sepenuhnya kepada kehadiran pelancong dan tidak menentu, beliau tetap bersyukur kerana mampu memperoleh antara RM80 hingga RM150 sehari pada hari yang baik.
Seorang lagi pengayuh beca Zaiful Khamis, 33, berkata berkata walaupun hanya memperoleh dua atau tiga perjalanan sehari, permintaan terhadap perkhidmatan beca masih memberangsangkan terutama pada hujung minggu, musim cuti sekolah serta ketika ketibaan kapal persiaran.
Beliau berkata pengusaha beca turut menerima tempahan daripada operator pelancongan selain pelanggan yang datang secara terus, dengan setiap pengayuh berlesen hanya dikenakan kadar sewaan beca sebanyak RM80 sebulan.
“Kami perlu mematuhi peraturan jalan raya termasuk larangan memasuki laluan sehala, demi keselamatan penumpang dan kami kena jaga pelanggan dengan baik termasuk jika ada barang mereka tertinggal, kami pastikan ia dipulangkan,” katanya.
Bagi Khoo Keng Boon, 60, pula memilih mengayuh beca sejak dua tahun lepas selepas sukar mendapatkan pekerjaan lain akibat faktor usia dan bekas tukang masak itu, menyifatkan pekerjaan pengayuh beca sebagai “pilihan terakhir”, namun menganggapnya masih mampu memberikan sumber pendapatan.
Beliau berkata selain membawa pelancong mengelilingi destinasi ikonik seperti Chew Jetty, Little India dan deretan jeti warisan di George Town, pengayuh beca kini turut membantu mengambil gambar dan merakam video sebagai nilai tambah kepada perkhidmatan mereka.
“Walaupun jumlah pengayuh beca semakin berkurangan, tetapi saya percaya kenderaan warisan itu masih mempunyai tempat tersendiri dalam industri pelancongan Pulau Pinang, kerana menawarkan pengalaman yang tidak mampu digantikan oleh pengangkutan moden,” katanya yang memperoleh pendapatan antara RM50 hingga RM120 setiap hari.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai berkata sebanyak 92 pengayuh beca berdaftar, terus menjadi duta pelancongan bergerak negeri.
Beliau berkata setiap pengayuh menerima bantuan elaun RM200 sebulan daripada kerajaan negeri, bagi memastikan warisan pengangkutan tradisional itu terus dipelihara, selain diharap dapat menarik lebih ramai generasi muda untuk meneruskan profesion tersebut.
“Setakat Julai tahun ini, kesemua pengayuh beca itu berdaftar secara rasmi menerusi sistem pelesenan “uLesen” Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), yang merangkumi Lesen Beca dan Lesen Pengayuh Beca.
“Beca kekal sebagai antara ikon pelancongan Pulau Pinang sejak diperkenalkan di George Town pada 1941, malah terus dipromosi dalam buku panduan rasmi Penang Global Tourism dalam pelbagai bahasa,” katanya.
Wong berkata kerajaan negeri juga mengalu-alukan kerjasama sektor swasta termasuk pengusaha hotel, yang membantu membiayai kos baik pulih beca serta menawarkan pakej perkhidmatan beca kepada tetamu, melalui kerjasama dengan Persatuan Beca Pulau Pinang.
Beliau berkata budaya beca berpotensi diangkat sebagai warisan negeri, memandangkan sejarahnya yang bermula sejak 1941 serta sumbangannya dalam membentuk identiti pelancongan George Town, malah tahun ini beca dirancang untuk diketengahkan bersama elemen kebudayaan lain dalam Perarakan Hari Kebangsaan.
-- BERNAMA