SHAH ALAM: Seorang wanita yang sarat mengandung sembilan bulan terpaksa menahan sakit selepas mengejar seorang lelaki yang meragut beg sandangnya di sebuah pusat beli belah, di sini, pada Isnin.

Mangsa, Aishah Zakaria, 37, berkata kejadian berlaku ketika dia berada di dalam tandas pusat beli -belah berkenaan.

Ketika kejadian, dia menyedari beg sandang yang disangkut di pintu tandas dilarikan suspek.

Mangsa cuba mengejar suspek sebelum meminta bantuan daripada orang ramai yang berada di lokasi.

Suspek kemudian berjaya ditahan orang ramai bersama beg sandang mangsa.

Menerusi hantaran di akaun Facebook, mangsa berkata masih terkejut dan berada dalam ketakutan akibat kejadian yang pertama kali dialaminya itu.

Dia bagaimanapun memklumkan berada dalam keadaan selamat dan tiada kecederaan serius dilaporkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada jam 10.57 malam oleh mangsa yang bekerja sebagai operator kilang.

Suspek lelaki berusia 22 tahun yang mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah itu direman selama tiga hari bermula 30 April hingga 2 Mei 2024.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.