Pihak swasta disarankan membantu sekolah-sekolah menyediakan perkhidmatan lokar bagi murid-murid, khususnya di peringkat sekolah rendah, sebagai satu cara mengurangkan beban beg sekolah berat, kata Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hassan.

Beliau berkata, ia dilihat perlu memandangkan buat masa kini Kementerian Pendidikan difahamkan tidak menyediakan peruntukan untuk sekolah-sekolah menyediakan perkhidmatan itu.

“Kita perlukan bantuan daripada pihak swasta, ini masanya barangkali untuk pihak swasta memberi sokongan dan bantuan sosial misalnya kepada masyarakat memerlukan.

“(Sebab) mungkin masyarakat bandar berkeupayaan (untuk menyediakan lokar di sekolah), itu pun tidak semuanya..dan bagaimana pula masyarakat di luar bandar. Sebab itu saya cadangkan kita lakukan secara berperingkat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.


Mohamad Ali berkata demikian bagi mengulas mengenai hasil kajian seperti yang diumumkan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan semalam, yang mengakui bahawa beg sekolah yang dibawa oleh murid sekolah ternyata berat.

BACA: Laporan kajian penilaian beg berat telah dibentang

BACA: Beg murid sekolah memang berat, maka apa langkah seterusnya?

BACA: Beg sekolah berat: Laksanakan cadangan kajian segera – NUTP

Selain itu, Mohamad Ali turut menyarankan agar pihak ibu bapa tidak mudah terpengaruh dengan beg-beg sekolah yang besar dan cantik kerana ia turut menyumbang ke arah peningkatan beban yang ditanggung murid setiap hari.

Selain itu, ibu bapa juga digesa agar lebih proaktif dalam melihat kandungan beg sekolah anak-anak mereka, bagi memastikan tiada barangan yang tidak berkaitan dibawa ke sekolah.

Katanya lagi, semua pihak harus diingatkan bahawa beg sekolah yang berat mampu memberi kesan negatif kepada tumbesaran anak-anak, terutamanya yang masih di sekolah rendah.