KUALA LUMPUR: Klasik dan eksklusif serta pada harga patut, namun beg tangan buatan Siti Noor Misro tetap menjadi pilihan isteri Perdana Menteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Masakan tidak, tas tangan terbabit diperbuat daripada fabrik songket yang jarang diketengahkan oleh pereka tempatan lain, sementara gandingan corak abstrak serta bunga pada fabrik dengan kombinasi warna pastel (pucat) dan terang menjadikan hasil tangan usahawan berusia 50 tahun itu tampak mewah.
"Saya memang minat menjahit kerana menerusi kegiatan itu saya boleh serlahkan kreativiti. Pada masa sama, saya juga suka produk buatan tangan.
"Apabila saya melihat video cara membuat beg tangan di YouTube, terdetik di hati saya untuk mencuba," katanya ketika dihubungi di kediamannya di Seremban, Negeri Sembilan.
Kini, selepas lebih 11 tahun berkecimpung dalam bidang itu, Siti Nor berbangga dengan jenama Ct N Honey yang semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat tas tangan unik termasuk orang kenamaan.
HANYA BELAJAR SENDIRI
Mengimbas semula pembabitan beliau dalam kerjaya itu, Siti Noor berkata beliau mula menghasilkan beg tangan pada 2012 namun hanya berani menjual produk yang dihasilkannya secara dalam talian pada pertengahan 2013.
"Pada ketika itu saya gunakan pelbagai material seperti kain kapas, linen, kanvas dan kulit sintetik. Reka bentuk juga sangat ringkas dengan kebanyakan beg tangan tersebut saya buat ikut tempahan dan cita rasa pelanggan," kata ibu kepada enam orang anak tersebut.
Melihat sambutan yang menggalakkan, Siti Noor membangunkan laman web untuk memasarkan beg tangan buatan beliau dan juga barangan jahitan untuk mereka yang ingin menghasilkan sendiri tas tangan.
Walaupun tidak mendapat sebarang pendidikan formal dalam bidang jahitan dan hanya belajar sendiri menerusi pelbagai video dalam YouTube, ternyata kerja tangan Siti Nor begitu menyerlah sehingga berjaya menarik perhatian pembantu Dr Wan Azizah pada 2019.
Bercerita lanjut, wanita itu berkata beliau dihubungi oleh pegawai Dr Wan Azizah yang pada masa itu merupakan Timbalan Perdana Menteri, memintanya menyediakan sebuah tas tangan daripada songket untuk dihadiahkan kepada isteri Presiden Turkiye Emine Erdogan yang dijadualkan datang ke Malaysia untuk menghadiri KL Summit 2019.
"Selepas mendengar tujuan tempahan itu, walaupun saya tidak pernah menggunakan fabrik songket, saya cuba sehabis baik untuk memenuhi tempahan Timbalan Perdana Menteri ketika itu," ujar beliau.
Menurutnya, dari situlah bermula sejarah penggunaan songket dalam pembuatan tas tangan beliau.
KETENGAHKAN SONGKET
Katanya, selepas menerima tempahan sulung daripada Dr Wan Azizah, beliau memberanikan diri untuk memfokuskan pembuatan tas tangan daripada songket.
Beliau menyifatkan langkah itu sebagai serampang dua mata, iaitu mengetengahkan beg tangan songket dan mempertahankan warisan songket yang semakin kurang digunakan oleh masyarakat umum.
"... hingga kini saya masih menerima tempahan beg tangan songket daripada beliau (Dr Wan Azizah), dan saya terharu kerana beliau mempercayai (akan kualiti) produk buatan tangan ini," kongsi Siti Nor.
Menurut usahawan itu, pembuatan beg tangan menggunakan fabrik songket khususnya, bukanlah satu kerja yang mudah kerana memerlukan ketelitian, dan beliau mengambil masa hingga dua hari untuk menyiapkan sebuah beg ringkas.
"Penghasilan beg buatan tangan ini adalah proses yang mengambil masa yang lama dan penuh ketelitian. Proses pertama ialah pemilihan reka bentuk dan material, kemudian kita akan melekatkan pengeras bagi memastikan beg lebih kukuh.
"Mesin jahit khas digunakan bagi memastikan kemasan yang rapi," jelas beliau, menambah tugas paling rumit ialah menghasilkan rangka beg kerana kerja menjahit bagi mencantum rangka dilakukan dengan tangan.
"Selalunya saya akan mengambil masa satu ke dua jam untuk menyiapkan jahitan tersebut,'' katanya yang mendapatkan bekalan songket daripada usahawan tempatan.
Menurut beliau, bagi memberikan rasa eksklusif, setiap corak songket dihadkan kepada satu beg sahaja.
PERLUASKAN PASARAN
Siti Nor berkata buat masa ini beliau melakukan kerja berkenaan di rumahnya dan dibantu oleh beberapa rakan yang dikenali menerusi media sosial.
"Rakan-rakan saya akan membantu terutama jika tempahan banyak, dan mereka menyiapkan bahagian masing-masing di rumah mereka sebelum dihantar kepada saya untuk dipastikan produk mengikut spesifikasi yang ditetapkan sebelum dihantar kepada pelanggan," katanya.
Selain beg tangan songket, Siti Noor turut menghasilkan pelbagai beg lain seperti sling bag, clutch dan tote, bergantung pada permintaan pelanggan.
Harga pula bergantung pada jenis beg, saiz dan material yang digunakan, iaitu dari serendah RM180 hingga RM400.
Tentang pasaran, beliau berkata selain platform dalam talian, produknya juga boleh didapati di sebuah butik di Pavilion Bukit Jalil.
"Saya juga akan menyertai pameran dan acara besar untuk berjumpa dan memperkenalkan jenama kepada lebih ramai orang termasuk acara yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia kerana produk saya turut dipromosikan menerusi laman web Kraftangan Malaysia," katanya.
Menurut Siti Noor, beliau berasa puas setiap kali melihat pelanggan menggayakan beg tangan buatan beliau, lebih-lebih lagi jika dipadankan dengan baju kurung atau kebaya.
-- BERNAMA / NURQALBY MOHD REDA
Bernama
Sun May 14 2023
Menurut Siti Noor, beliau berasa puas setiap kali melihat pelanggan menggayakan beg tangan buatan beliau, lebih-lebih lagi jika dipadankan dengan baju kurung atau kebaya. - Facebook Siti Noor Misro
Polis Israel guna meriam air leraikan protes antikerajaan
Penunjuk perasaan menggesa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berundur dan mengadakan pilihan raya baharu.
Rejim Zionis mara ke Jabalia, antara kem pelarian terbesar
Lokasi operasi rejim itu tertumpu di Jabalia, salah satu daripada lapan kem pelarian terbesar di Semenanjung Gaza.
[LAPOR LANGSUNG] Suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram tiada kaitan kumpulan pengganas - KPN
Berita terkini insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua anggota polis dan mencederakan seorang yang lain, pada Sabtu.
Filem terbaharu ‘The Experts’ tampil pelakon hebat, genre berlainan buat peminat
Filem dengan idea original ini menampilkan kisah fiksyen tentang rompakan yang melibatkan sebentuk cincin permata.
Dua tahun di Ulu Tiram, pulang ke sini jasad terbujur kaku’ - Bapa
Dia tidak menitiskan air mata sepanjang berada di Johor Bahru bagi menyelesaikan urusan jenazah anak keempat daripada lapan itu.
Malaysia, Uzbekistan akan tingkatkan kerjasama ekonomi - Tengku Zafrul
Malaysia dan Uzbekistan akan memperbaharui komitmen mereka untuk mengukuhkan hubungan ekonomi sempena hubungan diplomatik selama empat dekad.
Bimbang hilang suami antara faktor wanita tidak jalani saringan kanser
Bimbang kehilangan suami dan menjadi beban kepada keluarga antara faktor menyebabkan ramai wanita di Kelantan tidak menjalani saringan awal kanser yang disediakan LPPKN di negeri ini.
SUKMA-21: Sarawak mahu cipta rekod untuk naik imej sebagai kuasa sukan
Sarawak selaku tuan rumah temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-21 yang berlangsung bermula 17 Ogos ini, mahu mencipta rekod kejohanan untuk menaikkan imejnya sebagai kuasa sukan di negara ini.
Kelantan warta garis panduan baharu sukan Muay Thai - Exco
Kerajaan Kelantan sudah mewartakan garis panduan baharu berhubung sukan Muay Thai di negeri itu untuk diperkasakan dan dibangunkan semula bagi melahirkan atlet bertaraf dunia.
Pertumbuhan ekonomi rantau APEC dijangka cecah 3.4 peratus pada 2024 - Laporan
Pertumbuhan ekonomi di negara-negara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dijangka mencecah 3.4 peratus pada 2024 dan perlahan kepada 2.9 peratus pada 2025-2026.
Beg tangan songket eksklusif harga patut ini jadi pilihan orang kenamaan!
Beg tangan terbabit diperbuat daripada fabrik songket yang jarang diketengahkan oleh pereka tempatan lain.