Tentu ramai yang sudah melihat gambar kereta model terbaru daripada Proton. Model yang sebelum ini lebih dikenali dengan kod P2-30A dan PCC (Proton Compact Car) – dan kemungkinan besar akan dilancarkan dengan nama ‘Iriz’ – nampak sangat bergaya berdasarkan (satu) imej penuh model ini yang disiarkan Proton sendiri di laman web syarikat pada 31 Ogos lalu.
Mungkin anda patut cuba sendiri untuk memuat-turun gambar ini, cuma langkah-langkahnya agak mencabar. Cuba di sini.
Kita dapat merumuskan bahawa gambar yang ada merupakan bagi varian yang agak tinggi, hanya jika melihat pada DRL yang siap terpasang, iaitu satu kelengkapan yang sebelum ini hanya dipasang pada model Suprima S varian Premium dan Super Premium (tidak dipasang pada varian asas iaitu Executive).
Andaian ini diperkuatkan dengan pandangan ‘cutaway’ dari atas, untuk menunjukkan pemasangan 6 beg udara, termasuk pada tingkap yang memanjang dari depan hinggalah ke penumpang belakang. Dengan teknologi VDC (Vehicle Dynamic Control), ini membantu di dalam mendapatkan apa yang Proton ishtiharkan sebagai markah penuh 5 bintang daripada hasil ujian ANCAP (Australasian New Car Assessment Program).
Memandangkan ‘cutaway’ ini adalah ‘rendering’ komputer, kita tidak dapat mengenalpasti sama ada kerusi dibalut dengan kulit ataupun fabrik. Yang pasti, bahagian tengah tidak dilengkapi tempat rehat tangan (arm rest). Sebaliknya hanya ada tempat letak minuman.
Imej lain yang penting adalah peralatan audio dan multimedianya. Dari gambaran ini, sistem navigasi dan Bluetooth ada terpasang pada ‘varian tinggi’ ini, jika tidak pada semua varian. Imej lain turut menampakkan penggunaan kamera undur yang memancar video beserta garis rujukan untuk kegunaan sewaktu meletak kenderaan. (Penerangan pada laman web turut menjelaskan penggunaan sensor undur. Mungkinkah untuk varian asas pula?).
Bagi mereka yang ingin tahu, tangkai lampu isyarat adalah di belah kiri. Jadi Proton Inspira masih lagi model ‘asing’ yang mempunyai tangkai ini di belah kanan, hasil dari benih Jepun-nya.
Sistem audio dengan skrin sesentuh ini juga mempunyai kemampuan untuk bertindak sebagai ‘hot-spot’ WiFi, sebagaimana yang mula diperkenalkan sebagai fungsi standard di dalam model Suprima S.
Sebelum ini, laporan-laporan oleh Berita Harian dan Utusan Malaysia menjelaskan bahawa PCC ini akan dipadankan dengan pilihan enjin 1.3 liter atau 1.6 liter yang baru (bukan Campro), dengan pilihan transmisi automatik ataupun manual. Teknologi stereng elektrik akan membantu di dalam memberikan penggunaan petrol yang lebih baik.
Teknologi Hot Press Forming ataupun HPF (teknologi pembentukan panas) juga memberikan model baru ini badan yang lebih kuat, sepertimana Preve dan Suprima S.
Harga pula dijangka berada diantara RM40,000 hinga RM60,000. Nampaknya akan ada perang komersil diantara Perodua (dengan Myvi dan Axia yang akan dilancarkannya) dan Proton apabila PCC ini dilancarkan kelak – yang mana satu pilihan anda, setakat ini? Proton PCC/’Iriz’ ataupun Perodua Axia?
{^widget|(counttype)2|(showgraph)True|(name)Poll|(checkvoted)True|(image_guid)27e6fe1f-c5d9-484f-b42b-adae3a492004|(pollcodename)P1VsP2|(showresultsaftervote)True|(container)Padding.Content|(widget_displayname)Poll|(width)|(height)^}