Bekalan elektrik di dua daerah di sempadan Sarawak pulih

Bernama
Januari 16, 2021 04:59 MYT
Dua kejadian tanah runtuh berlaku minggu ini menyebabkan tiang elektrik dan kabel bawah tanah rosak akibat hakisan. - Gambar fail
KUCHING: Bekalan elektrik di dua daerah di bahagian selatan Sarawak berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia berjaya dipulihkan, selepas ia terputus sejak 11.30 malam Rabu akibat dua kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan.
Syarikat pembekal tenaga elektrik milik kerajaan negeri Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam kenyataan memaklumkan bekalan elektrik ke daerah Bau selain Semantan, bandar Lundu dan Telol Melano di daerah Lundu, berjaya dipulihkan pada 6.37 pagi tadi berikutan kerja-kerja pembaikan yang dilakukan sepanjang malam.
Menurut kenyataan itu, kerja-kerja pembaikan tiang elektrik dan kabel bawah tanah yang rosak akibat tanah runtuh dan hakisan tanah, yang menyebabkan gangguan kepada kira-kira 9,000 pelanggan di daerah tersebut, pada mulanya terpaksa ditangguhkan akibat hujan lebat malam tadi.
BACA: Tanah runtuh: Dua daerah di sempadan Sarawak bergelap
BACA: Pengguna dinasihat bersabar tunggu bekalan elektrik disambung semula - TNB
Kenyataan SEB itu menyatakan, talian pertama dilaporkan terputus pada 11.30 malam Rabu, 13 Jan, diikuti talian kedua terputus pada 10.45 pagi semalam.
"(Pada awalnya) usaha pembaikan telah terjejas akibat keadaan kawasan yang tidak selamat akibat tanah runtuh dan kawasan itu yang tidak dapat dimasuki akibat banjir," menurut kenyataan itu lagi.
-- BERNAMA
#tanah runtuh #banjir #elektrik #bekalan elektrik #sempadan #Sarawak #Malaysia-Indonesia #Sarawak Energy Berhad #SEB #kerja-kerja pembaikan #kabel bawah tanah #rosak #tiang elektrik #talian terputus #tangguh kerja #hujan