KUALA LUMPUR: Kerja-kerja pembaikan aset Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Kampung Orang Asli Sungai Raya, Seremban, Negeri Sembilan yang terjejas akibat tanah runtuh dan pokok tumbang telah selesai dengan bekalan elektrik pulih pada 8.20 malam tadi.

TNB dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan kerja-kerja pembaikan dibuat sejurus mendapat pengesahan pihak berkuasa bahawa keadaan laluan ke tempat kejadian adalah selamat.

Kelmarin, seramai 25 penduduk daripada lima keluarga di Kampung Orang Asli Sungai Raya dilaporkan terputus hubungan apabila laluan yang menghubungkan kampung itu dengan jalan utama tidak dapat dilalui akibat tanah runtuh dan pokok tumbang.

Kejadian itu ekoran hujan lebat berterusan yang menyebabkan bekalan elektrik terputus dan menjejaskan penduduk.

Sejurus kejadian itu, TNB bekerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan bagi melakukan kerja-kerja mengalihkan tanah dan pokok tumbang di sekitar kawasan kejadian.

BACA: Lima keluarga Orang Asli terkandas akibat tanah runtuh, pokok tumbang

BACA: Tanah runtuh: Laluan Mantin-Seremban ditutup sementara

Menurut TNB, kerja baik pulih aset dan sambungan bekalan elektrik akan dilaksanakan sejurus kerja-kerja pembersihan selesai serta disahkan selamat oleh pihak berkuasa.

"Demi keselamatan orang awam, bekalan elektrik telah dihentikan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA