Tidak sampai 24 jam selepas Sarawak Energy Berhad (SEB) memohon maaf di atas kejadian bekalan elektrik terputus di Sarawak, satu lagi kejadian seumpamanya melanda negeri itu.

Kali ini, bekalan elektrik dikatakan terputus akibat kebakaran yang berlaku di sebuah pencawang di kawasan perumahan Taman Hijrah di Petra Jaya.

Usaha untuk menghubungi jurucakap SEB untuk mendapat reaksi tidak berhasil.

Semalam, lebih 2 juta penduduk Sarawak terpaksa bergelap setelah bekalan elektrik terputus.

Kejadian bekalan elektrik terputus yang membabitkan hampir keseluruhan Sarawak termasuk ibu negeri Kuching itu, dikatakan berpunca daripada litar di talian penghantaran Kemena-Bintulu terpelantik pada pukul 5.40 petang.

Berikutan itu, Ketua Pegawai Eksekutif SEB Torstein Dale Sjtveit telah meminta maaf kepada penduduk Sarawak dan berkata siasatan menyeluruh ke atas kejadian itu akan dilakukan.