Skip to main content

Malaysia

Bekalan makanan stabil, stok penimbal beras negara cecah 300,000 tan - Mohamad Sabu

Mohamad Sabu. FB Mohamad Sabu
Bekalan makanan negara kekal stabil dengan stok penimbal beras mencecah 300,000 tan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu. - Foto Facebook Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR: Bekalan makanan negara kekal stabil dengan stok penimbal beras mencecah 300,000 tan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata selain itu, pengeluaran ayam dan telur tempatan kini juga hampir mencapai kadar sara diri sepenuhnya.

Advertisement

Katanya meskipun situasi semasa terkawal, kerajaan tetap berwaspada terhadap cabaran kenaikan kos makanan ternakan yang masih bergantung pada import dan harga bahan api.

“Untuk sayur, kadang-kadang berlaku lambakan sampai harga jatuh. Pengguna suka, tetapi petani tertekan.

“Jadi kerajaan bantu melalui jadual penanaman dan sistem ladang kontrak. Bekalan ikan pula agak terjejas sebab cuaca panas dan kos nelayan meningkat, sebab itu kita perhebat akuakultur sebagai alternatif,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Mohamad berkata kesan sebenar krisis bekalan global dijangka lebih terasa dalam tempoh tiga hingga enam bulan, terutama apabila kos baja, makanan ternakan dan bahan api meningkat.

“Mungkin harga makanan akan naik sedikit, tapi kerajaan sedang usaha supaya tidak berlaku kenaikan mendadak,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga telah mengambil pelbagai langkah bagi membantu meringankan beban rakyat termasuk menambah stok beras, membuka sawah baharu, memperbaiki sistem pengairan dan membangunkan industri jagung tempatan bagi mengurangkan kebergantungan pada import.

Katanya dalam masa sama, bantuan dan insentif juga disalurkan untuk membantu petani, penternak dan nelayan untuk terus bertahan.

Mohamad turut menasihatkan rakyat untuk bersedia dan berbelanja mengikut keperluan bagi mengelakkan pembaziran.

“Kalau kita semua tenang dan bertanggungjawab, insya-Allah kita boleh hadapi cabaran ini bersama,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video