Bekalan makanan dan peralatan untuk mangsa banjir di pusat pemindahan yang berdaftar cukup bagi menampung keperluan 150,000 mangsa banjir di seluruh negeri Kelantan.

Menurut Timbalan Pengarah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), negeri Kelantan, Norazaman Abdul Manaf, kesemua bekalan berkenaan kini ditempatkan di depo simpanan.

Katanya pihak JKM dan agensi keselamatan lain telah bersiap sepenuhnya bagi menghadapi gelombang kedua banjir dan akan mengagihkan bekalan makanan secepat mungkin ke pusat pemindahan sekiranya situasi tersebut berlaku.

“Andai kata banjir seluruh negeri Kelantan maknanya kita ada 729 pusat pemindahan yang boleh beroperasi keseluruhannya dan jumlah keseluruhan pusat pemindahan boleh menampung 150,041 orang,” kata Norazaman.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, (MKN) negeri Kelantan, Roslee Mamat meminta penduduk yang berisiko supaya sentiasa memantau perkembangan situasi semasa menerusi media.

Penduduk juga diminta bertindak cepat dengan berpindah sekiranya diarahkan kerana bagi memudahkan operasi menyelamat.

Kerajaan telah memberi peruntukan tambahan RM100,000 bagi menghadapi gelombang kedua banjir sebagai tambahan kepada bantuan RM500,000 sebelum ini.