PASIR MAS: Bekalan dadah jenis pil kuda mudah diperolehi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Walaupun pil berkenaan datangnya dari Thailand, namun bekalan berkenaan tidak putus dan harganya stabil.

Itu yang diakui oleh salah seorang penagih pil kuda berusia 26 tahun yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan baru-baru ini.

“Mudah lagi (untuk perolehi) musim PKP. Ambil sahaja di kawasan kampung bukan di sempadan kerana ada pengedar di sini,” jelasnya.

Dalam Operasi Perdana yang dijalankan AADK itu, seramai 149 penagih pik kuda ditahan termasuk adik beradik orang kelainan upaya (OKU) yang berusia dari 16 hingga 55 tahun seluruh Kelantan.

Bagi penagih tegar ini pula, dia mengakui tahap ketagihannya tidak lagi cukup sekadar dua tiga biji sehari, sebaliknya 15 biji sehari.

“Saya perlu ambil 15 biji sehari. Masa sakit gigi pun perlu ambil, masa sakit urat pun perlu ambil.

“Kalau berhenti, masa kita sakit kita tidak akan makan ubat. Kalau gigi kita pecah sekalipun, kita akan tumpu kepada dadah ini dan tidak akan makan ubat,” katanya.

Harga sebiji pil kuda yang dijual di sekitar kampung Pasir Mas berharga RM10 dan penagih ini akan menghabiskan RM150 sehari bagi membeli bahan berkenaan daripada pengedar tempatan.

Katanya dia tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan pil kuda kerana ramai pengedar yang menjual pil berkenaan.

Sementara itu, Pengarah AADK Kelantan, Rahayu Ahmad berkata, gejala penagihan pil kuda seawal usia 13 tahun, dan ada kalanya mendapat restu ibu bapa mereka.

“Ada sebilangan ibu bapa tahu anak mereka menagih dadah namun tidak sanggup berjauhan dengan anak mereka.

“Mereka juga sanggup memberi duit kepada anak mereka kerana tidak mahu anak mereka berjauhan untuk mendapat rawatan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) atau dimasukkan ke dalam penjara,” katanya.

Rahayu berkata, tindakan menyembunyikan penagihan anak anak merosakkan masa depan anak mereka sendiri.

Beliau menjelaskan berdasarkan data 2019, Kelantan merupakan negeri tertinggi mencatatkan penagihan pil kuda iaitu sebanyak 16,341 orang.