Bekas Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri Penaga, Datuk Azhar Ibrahim meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) malam Rabu.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 73 tahun kira kira jam 8.30 malam.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika dihubungi mengesahkan berita kematian veteran UMNO itu.

Katanya, jenazah akan disolatkan di Masjid Mutiara Damansara pada jam 10 pagi dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sek 9 Kota Damansara.

Allahyarham Azhar menjadi wakil rakyat di kawasan Penaga selama empat penggal sejak UMNO memenangi kerusi itu pada 1990.

Beliau kemudian dilantik memegang jawatan ketua pembangkang DUN Pulau Pinang selepas Barisan Nasional tewas kepada Pakatan Rakyat semasa Pilihanraya Umum pada 2008.

Bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang itu juga dikenali sebagai seorang yang lantang dan berani dalam menyuarakan pandangannya berhubung isu semasa dan politik baik di peringkat negeri mahupun negara.

Malah bekas guru itu juga pernah digantung daripada menghadiri persidangan DUN Pulau Pinang kerana kelantangannya sewaktu berdebat.