Skip to main content

Malaysia

Tahun Baharu Cina: Dua juta kenderaan dijangka masuk Pulau Pinang bermula Ahad

GEORGE TOWN, 3 Jun -- Keadaan di laluan utama sekitar bandaraya George Town sesak walaupun pada hari bekerja berikutan orang ramai mengambil peluang berkunjung ke tempat-tempat menarik selepas peralihan Fasa ke Endemik sejak April lepas ketika tinjauan hari ini.  BERNAMA
Kira-kira dua juta kenderaan dijangka memasuki dan keluar dari Pulau Pinang sempena cuti sambutan Tahun Baharu Cina kali ini. - Gambar fail/ Bernama

GEORGE TOWN: Kira-kira dua juta kenderaan dijangka memasuki dan keluar dari Pulau Pinang sempena cuti sambutan Tahun Baharu Cina bermula 15 hingga 20 Feb ini, kata Ketua Polis negeri Datuk Azizee Ismail.

Beliau berkata bagi memastikan kelancaran trafik, 380 pegawai serta anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Pulau Pinang ditugaskan 24 jam sepanjang Op Selamat 25/2026 yang dilaksanakan dalam tempoh berkenaan.

Advertisement

“Jumlah itu meningkat berbanding kira-kira 1.8 juta kenderaan tahun lepas. Hal itu berikutan pergerakan pulang ke kampung halaman oleh warga kota serta mereka yang menetap di bandar untuk menziarahi keluarga sempena cuti perayaan itu, selain ketibaan Ramadan,” katanya.

Azizee berkata kepada pemberita pada Majlis Advokasi Op Selamat 25/2026 sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Polis Kontinjen Pulau Pinang di Pasar Awam Jelutong di sini hari ini.

Beliau berkata Op Selamat 25/2026 akan turut melibatkan kerjasama Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dengan penugasan 350 unit rondaan, termasuk Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kenderaan peronda (MPV), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Projek Lebuhraya Utara-Selatan Berhad (PLUS).

Azizee berkata dalam melaksanakan operasi itu, pihaknya mengguna pakai konsep Pre-Emptive Services and Total Enforcement yang menekankan tindakan awal serta langkah pencegahan secara proaktif dalam menangani kesesakan dan kemalangan jalan raya.

Operasi turut menumpukan kepada kawasan kerap berlaku kemalangan dan sering mengalami kesesakan khususnya di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan, daerah mencatatkan jumlah kemalangan maut tertinggi serta kawasan berisiko tinggi mengalami kesesakan.

“Sebanyak 45 lokasi telah dikenal pasti antaranya Jalan Teluk Air Tawar–Jalan Bagan Luar di Seberang Perai Utara, Jalan Perusahaan Perai–Jalan Kulim di Seberang Perai Tengah serta Jalan Besar Simpang Empat (KM12 hingga KM32) di Seberang Perai Selatan.

“Turut dikenal pasti ialah Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu/Jalan Ayer Itam, Jalan Ayer Itam–Paya Terubong, Jalan Sultan Azlan Shah serta Jalan Tun Dr Awang,” katanya sambil menasihatkan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas ditetapkan.

Sementara itu, di ALOR SETAR, Ketua Polis Kota Setar ACP Syed Basri Syed Ali berkata lima pegawai dan 43 anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar ditugaskan sepanjang Op Selamat 25/2026 susulan kira-kira 300,000 kenderaan dijangka memasuki daerah itu sempena Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata lapan kawasan kerap berlaku kemalangan dikenali pasti iaitu Lampu Isyarat Jalan Simpang Kuala, Lampu Isyarat Jalan Tanjung Bendahara, Lampu Isyarat Jalan Datuk Kumbar, Lampu Isyarat Derga, Lampu Isyarat Taman Pandan, Lampu Isyarat Kota Sarang Semut, Lampu Isyarat Kuala Sungai dan Lampu Isyarat Plaza Tol Alor Setar Utara.

“Bagi kawasan kerap berlaku kemalangan maut pula melibatkan KM8 Jalan Alor Setar-Kangar (Taman Flora/Taman Sayang Kuala Sungai), Lebuhraya Sultanah Bahiyah (Lampu Isyarat Raden) dan Jalan Alor Setar-Kuala Kedah (Lampu Isyarat Batas Paip),” katanya pada Majlis Pelancaran Op Selamat di Plaza Tol Alor Setar Utara hari ini.

Syed Basri berkata selain itu, beberapa pasukan antaranya ‘Team Jammed Skuad’ dan ‘Team Omnipresent’ juga akan ditugaskan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

-- BERNAMA

 

TAG: kenderaan, Tahun Baharu Cina, Pulau Pinang, Op Selamat 25/2026, Kota Setar

Must Watch Video