Skip to main content

Malaysia

Bekas CEO Malakoff dan UEM Sunrise, Anwar Syahrin meninggal dunia

belasungkawa, anwar syahrin abdul ajib, meninggal, Malakoff
Allahyarham, yang berusia 53 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas urusan jenazah dan solat dilakukan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff Corp Bhd dan UEM Sunrise Bhd, Anwar Syahrin Abdul Ajib, meninggal dunia awal pagi Jumaat.

Allahyarham, yang berusia 53 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas urusan jenazah dan solat dilakukan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara.

Advertisement

Anwar Syahrin merupakan anak kepada bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Abdul Ajib Ahmad. 

Membesar di Johor sebelum melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Anwar Syahrin kemudian memperoleh ijazah kejuruteraan dari Imperial College London, United Kingdom.

Sekembalinya ke Malaysia, Anwar Syahrin memulakan kerjaya di syarikat minyak dan gas Shell sebagai eksekutif pengangkutan. 

Ketika isterinya menyambung pengajian di United Kingdom, Anwar Syahrin turut mengambil peluang untuk melanjutkan pengajian sehingga bergelar akauntan bertauliah.

Kerjaya perakaunannya bermula di firma audit antarabangsa Arthur Andersen sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) di Pelabuhan Tanjung Pelepas pada 2006.

Pada 2014, Anwar Syahrin menyertai MMC Corporation Bhd sebagai CFO sebelum dilantik mengetuai UEM Sunrise pada tahun sama, beberapa bulan selepas penggabungan UEM Land Holdings Bhd dan Sunrise Bhd dimuktamadkan. 

Anwar Syahrin menerajui syarikat pembangunan hartanah itu selama enam tahun.

Anwar Syahrin kemudian dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff pada Disember 2020 dan berkhidmat sehingga September 2025 sebelum berundur bagi meneruskan peluang lain.

Must Watch Video