Bekas Datuk Bandar dibebaskan daripada reman

Siti Nur Aqilla Omar
Ogos 16, 2021 04:40 MYT
Pembebasan bekas Datuk Bandar itu disertai dengan syarat termasuk membayar jaminan RM50,000 beserta seorang penjamin. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Bekas Datuk Bandar pihak berkuasa tempatan (PBT) di bandar raya ini yang direman bagi membantu siasatan kes rasuah, dilepaskan selepas membuat permohonan di Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini, hari ini.
Keputusan dikeluarkan Majistret, Normadiana Mamat selepas permohonan dibuat peguam suspek, Omar Kutty dan Hazza Khalid.
Majistret turut memerintahkan pembebasan bekas Datuk Bandar itu disertai dengan syarat termasuk membayar jaminan RM50,000 beserta seorang penjamin.
Suspek turut diperintahkan hadir melapor diri pada tarikh yang ditetapkan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.
Sebelum ini, media melaporkan seorang Datuk Bandar pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini direman bagi membantu siasatan kes menerima rasuah.
BACA: Disyaki terima rasuah, Datuk Bandar direman tiga hari
BACA: SPRM tahan Datuk Bandar kerana rasuah
Pegawai kanan kerajaan berusia 60 tahun itu didapati menerima wang rasuah daripada kontraktor bagi setiap kelulusan projek yang dilaksanakan di bawah kendalian sebuah PBT sewaktu beliau menjadi Datuk Bandar di Majlis Bandaraya itu.
Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor turut memberitahu, telah menahan seorang pesara kerajaan yang bertindak sebagai orang tengah kepada Datuk Bandar terbabit.
BACA: Pesara kerajaan ditahan, sekongkol rasuah bersama Datuk Bandar
Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek telah bertindak sebagai orang tengah kepada Datuk Bandar itu bagi mendapatkan wang rasuah daripada kontraktor-kontraktor sebagai balasan meluluskan kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor bagi projek-projek yang dikeluarkan oleh pihak MBJB dalam tahun 2020 dan 2021.
Kes berkenaan disiasat mengikut seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara maksimum 20 tahun.
#Rasuah #Datuk Bandar #pbt #Mahkamah Majistret #SPRM #orang tengah #MBJB