KUALA LUMPUR: Bekas eksekutif akaun firma guaman Abu Zarin Haron sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini dan mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan melupus, memindahkan dan menerima wang yang merupakan hasil daripada aktiviti haram berjumlah lebih RM1 juta.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Abu Zarin, 46, didakwa melupuskan wang berjumlah RM112,000 yang merupakan hasil aktiviti haram daripada akaun simpanan Maybank miliknya di Malayan Banking Berhad, Jalan Tun Perak, Bukit Bintang di sini antara 18 Sept 2020 hingga 19 Julai 2021.

Dia turut berdepan dua pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM633,641.07 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun simpanan Maybank miliknya ke satu lagi akaun Maybank miliknya di lokasi sama antara 30 Sept 2020 hingga 15 Okt 2021.

Tertuduh juga didakwa atas empat pertuduhan menerima wang berjumlah RM886,908.70 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun simpanan Maybank miliknya melalui tiga akaun bank milik dua wanita dan seorang lelaki di tempat sama antara 21 April 2021 hingga 14 Jan 2021.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Zainal mencadangkan jaminan RM80,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

Peguam Kassim Ludin yang mewakili tertuduh memohon jaminan paling munasabah dengan alasan anak guamnya kini tidak bekerja selain perlu menanggung keluarga serta tiga anak yang masih belajar.

"Sebelum ini, anak guam saya telah dituduh dengan kes predikat (pecah amanah) dan mahkamah menetapkan jaminan RM50,000. Oleh itu, saya mohon wang jaminan sebelum ini digunakan semula untuk jaminan bagi kes ini," katanya.

Hakim Kamarudin Kamsun membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 19 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Pada 1 Jun lepas, Abu Zarin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas sembilan pertuduhan pecah amanah melibatkan kerugian hampir RM1 juta.

-- BERNAMA