Bekas Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Ahmad Saad meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Seberang Perai awal pagi Ahad.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 68 tahun kira-kira jam 2.15 pagi.

Difahamkan beliau menghidap penyakit angin ahmar sejak kira-kira lapan tahun lalu.

Jenazah Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir dan Penanti itu dibawa ke rumahnya di Jalan Baru, Perai dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Panjang, Bukit Mertajam jam 11 pagi ini.

Allahyarham juga adalah bekas Ketua Pemuda UMNO Negeri dan Exco Pemuda UMNO.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said ketika dihubungi berkata kehilangan allahyarham satu kehilangan besar kepada parti khususnya UMNO Bahagian Permatang Pauh.

Ujarnya Allahyarham adalah contoh dan lambang seorang pejuang sejati dalam parti.

Allahyarham juga seorang yang setia kepada parti walaupun melalui pelbagai fasa sehingga pernah dianggap akan meninggalkan parti UMNO ketika jawatannya sebagai Ketua Penaja UMNO Bahagian Permatang Pauh di berikan kepada Datuk Abdul Jalil Majid.

"Ketika saya menemaninya selama seminggu, beliau tetap berpesan untuk setia dalam parti yang banyak jasa pada rakyat ini," katanya.