KUALA LUMPUR: Bekas koperal polis dilihat tenang selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menjatuhkan hukuman gantung sampai mati atas tuduhan membunuh anak tirinya berusia dua tahun pada 2015.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Khairuanuar Baharuddin, 39, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan.

“Selepas meneliti dan mengkaji keseluruhan keterangan dalam kes ini, mahkamah mendapati bahawa pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

"Mahkamah mendapati kesemua keterangan mengikut keadaan dalam kes ini menjurus kepada kesimpulan tertuduh membunuh si mati. Oleh itu, mahkamah mensabitkan tertuduh di bawah Seksyen 302,” katanya.

Sejurus selepas tamat prosiding, dua individu dipercayai ahli keluarga dilihat menangis sambil ditenangkan oleh tertuduh.
Dalam kes ini, seramai 15 saksi pendakwaan dan satu saksi pembelaan dikemukakan
 
sepanjang perbicaraan berlangsung.

Kes menyayat hati itu dilaporkan media pada November 2015 yang membawa kepada pembukaan akaun Facebook atas nama Keadilan Untuk Amanda.

Kisah itu kembali tular dan mendapat perhatian netizen dua tahun kemudian setelah status menuntut keadilan kanak-kanak itu dimuat naik di akaun tersebut.