Negara hari ini kehilangan seorang tokoh akademik yang telah banyak menyumbang ke arah kecemerlangan pendidikan di Malaysia.

Datuk Prof Dr Radin Umar Sohadi, 53 telah menghembuskan nafas terakhirnya Hospital Serdang jam 4.15 pagi tadi.

Bekas Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) itu dilaporkan meninggal akibat kegagalan fungsi hati.

Allahyarham sebelum ini juga kerap ke hospital untuk meriman rawatan terhadap panyakit kansernya.

Selain sumbangan kepada pendidikan, Allahyarham juga merupakan seorang pakar terkemuka dalam hal ehwal keselamatan jalan raya.

Allahayarham beberapa kali diundang sebagai tetamu khas di Astro AWANI bagi mengulas pandangannya tentang isu keselamatan jalan di Malaysia.

Selain itu, Allahyarham juga pernah dilantik oleh Kabinet bagi menerajui lembaga siasatan bebas menyiasat berhubung kemalangan bas di Cameron Highlands pada tahun 2010.

Menurut laporan, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid UPM dan disemadikan di tanah perkuburan Islam berhampiran masjid itu sekitar jam 11.00 pagi tadi.

Pemergian Allahyarham meninggalkan seorang isteri serta lima orang anak.

Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan beliau sebagai seorang pemimpin pendidikan tinggi yang intelektual dan komited.

“Legasinya ialah mewujudkan Modul Kemahiran Insaniah (soft skills) untuk para mahasiswa untuk meningkatkan ciri-ciri keperibadian holistik serta kebolehpasaran mereka.

“Modul itu komprehensif dan sistematik, mengandungi tujuh elemen utama seperti kemahiran berkomunikasi, kepimpinan dan etika,” katanya dalam satu kiriman teks kepada Astro AWANI.

Tambah Saifuddin, modul Allahyarham kini dilaksana di semua universiti dan telah membuahkan hasil yang positif.


Tentang Allahyarham Datuk Prof Dr Radin Umar Radin Sohadi:

- Pernah dilantik menjadi ketua pengarah Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang pertama pada 2007.

- Dilantik menjadi naib canselor UPM pada Januari 2011 dan meletak jawatan pada Disember 2012 akibat masalah kesihatan.

- Pernah menerima anugerah 'The Prince Michael International Road Safety Award' sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dalam kemajuan jalan raya pada 2005.

- Pernah berkhidmat di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Ketua Pengarah.