KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai bank didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan berniaga dalam sekuriti tanpa memegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), 13 tahun lepas.

Mohd Arif Fadzlee Mohd Arifin, 42, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman dan Azrul Darus.

Di hadapan Sabariah, Mohd Arif Fadzlee didakwa telah mengemukakan dirinya sebagai wakil CIMB Wealth Advisors Berhad berkenaan aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti tanpa memegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal atau bukan berdaftar bagi melakukan aktiviti itu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di SS2, Petaling Jaya, dekat sini, antara Februari dan April 2011 mengikut Seksyen 59(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 59(2) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Azrul pula, lelaki itu didakwa menggunakan gelaran perunding unit amanah yang mewujudkan kepercayaan bahawa dia dilesenkan untuk melakukan fungsi berhubung aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti sedangkan dia tidak memegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah restoran berhampiran Universiti Islam Antarabangsa, Nilai, Negeri Sembilan sekitar tahun 2011.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 362(3) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 372(1) akta serupa yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara yang boleh sampai lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya daripada SC Annarina Chacko Jacob menawarkan jaminan RM150,000 dengan dua orang penjamin bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di ibu pejabat Suruhanjaya Sekuriti sebulan sekali sehingga kes selesai.

Peguam Siti Aisha Tahir yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya penanggung utama keluarga dan menanggung ibu, isteri dan dua anaknya selain sedang mengalami masalah kewangan.

Kedua-dua hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan dua orang penjamin untuk setiap pertuduhan, menjadikan jumlah jaminan keseluruhan sebanyak RM60,000 berserta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.

Azrul menetapkan 25 Mac ini untuk sebutan semula kes sementara Sabariah menetapkan 26 Feb untuk prosiding sama

-- BERNAMA