KAMPAR: Seorang bekas pegawai bank dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kampar pada Rabu atas dua pertuduhan menipu dua individu bagi tujuan pelaburan membabitkan kerugian berjumlah lebih RM110,000.

Tertuduh, M Pathmanathan, 43, mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret A. Hafiizh Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan pertama, Pathmanathan didakwa memperdayakan S Kogeelan, 32, untuk menyertai skim pelaburan di sebuah bank di Jalan Gopeng Kampung Masjid, dekat sini pada jam 11 pagi 28 Mac lalu.

Tindakan itu telah mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM30,000 sebagai bayaran modal untuk memasuki pelaburan berkenaan

Bagi pertuduhan kedua, Pathmanathan didakwa memperdayakan Jessinta Mary Michael, 52, untuk menyertai pelaburan produk sebuah bank antara 25 Oktober 2021 sehingga 22 September 2022 di lokasi sama sehingga mendorong mangsa  menyerahkan wang berjumlah RM80,600 melalui pindahan wang ke akaun bank milik tertuduh.

Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Timbalan Pendakwa Raya, M Esther Jacyntha menawarkan wang jaminan RM55,000 kepada tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun peguam yang mewakili tertuduh, Baldip Singh Santokh Singh memohon agar wang jaminan dikurangkan kerana anak guamnya mempunyai tiga anak dan memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa sepanjang tempoh siasatan berjalan.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM23,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah turut menetapkan 26 Julai bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen lanjutan pertuduhan.