SHAH ALAM: Seorang bekas peguam yang kini sedang menjalani hukuman penjara, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melupus dan memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5.69 juta pada 2017 dan 2018.

Loke Chee Min, 64, didakwa melupus dan memindahkan wang itu daripada beberapa akaun bank milik firma guamannya, The Law Office of CM Loke di tiga cawangan bank di sekitar Balakong dan Seri Kembangan dekat sini, antara 12 Okt 2017 dan 14 Mac 2018.

Pertuduhan mengikut Perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama dibaca bersama Perenggan 87(1)(a) akta sama.

Sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta atau yang mana lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Amanina Wan Din tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan tertuduh sedang menjalani hukuman di penjara atas kesalahan lain.

Lelaki yang tidak diwakili peguam itu kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang bagi kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan beberapa kesalahan lain.

Hakim Norazlin Othman kemudian menetapkan 11 Mei depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA