KUALA LUMPUR: Dua bekas pekerja sebuah bank pelaburan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdayakan bank berkenaan berhubung pengeluaran Standby Letter of Credit (SBLC) bernilai AS$16 juta, tiga tahun lepas.
Chia Kian Lim, 40, dan Lai Heow Gran, 52, didakwa bersama-sama memperdayakan bank tersebut dengan membuat representasi bahawa SBLC bernilai US$16 juta telah mendapat kelulusan pihak berkuasa atau ketua pegawai eksekutif (CEO) bank berkenaan dan meluluskan suatu transaksi SBLC melalui fungsi mereka sebagai checker dan maker dalam Sistem Swift, sedangkan pihak berkuasa atau CEO itu tidak pernah memberikan kelulusan terhadap transaksi berkenaan.
Perbuatan dilakukan kedua-dua tertuduh mendorong bank berkenaan untuk meneruskan dan mengeluarkan SBLC, sedangkan kelulusan tersebut sebenarnya tidak pernah diberikan.
Kedua-dua lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di bank berkenaan pada 9 Nov 2023, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, mengambil kira jumlah yang terlibat ialah USD16 juta serta syarat tambahan tidak mengganggu saksi dan mengakses mana-mana komputer syarikat.
Peguam G. Maniggandan yang mewakili Chia memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000 kerana anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga, selain dia memberikan kerjasama baik dengan pihak berkuasa semasa siasatan.
Sementara itu, peguam Manjit Singh yang mewakili Lai turut memohon jaminan rendah atas alasan tertuduh tidak bekerja dan mempunyai dua anak berumur tujuh dan sembilan tahun serta seorang isteri.
Hakim Azrul Darus membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 16 Nov ini untuk sebutan kes.
-- BERNAMA