Skip to main content

Malaysia

Bekas Pengarah Eksekutif Patimas gagal rayuan, kekal bayar RM1.24 juta kepada SC

81663585803_ISTANAKEHAKIMAN.jpg
Hakim Vazeer, yang menyampaikan keputusan mahkamah, memutuskan bahawa tiga persoalan undang-undang yang dibangkitkan oleh Ng telah dijawab oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes yang melibatkan peguam Datuk Sreesanthan Eliathamby. - Gambar hiasan
Advertisement

PUTRAJAYA: Bekas Pengarah Eksekutif Patimas Computers Bhd Datuk Ng Back Heang gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan yang mendapati beliau bertanggungjawab atas dagangan orang dalam dan memerintahkannya membayar RM1.24 juta selain penalti sivil sebanyak RM700,000 kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Seri Vazeer Alam Mydin Meera, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebulat suara menolak permohonan itu dan mengarahkan Ng untuk membayar kos guaman sebanyak RM50,000.

Hakim Vazeer, yang menyampaikan keputusan mahkamah, memutuskan bahawa tiga persoalan undang-undang yang dibangkitkan oleh Ng telah dijawab oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes yang melibatkan peguam Datuk Sreesanthan Eliathamby.

Beliau berkata syarat ambang di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1962 tidak dipenuhi.

Susulan keputusan mahkamah yang menolak permohonan kebenaran merayu, Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Ng membayar RM1.24 juta dan penalti sivil sebanyak RM700,000 kepada SC, kekal berkuat kuasa.

Pada November 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan SC dan memutuskan bahawa Ng telah melanggar Seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Mahkamah Tinggi mengarahkan Ng membayar RM1.24 juta dan penalti sivil RM700,000 kepada SC.

Ng juga dilarang dilantik sebagai pengarah mana-mana syarikat awam tersenarai selama lima tahun, bermula dari tarikh penghakiman Mahkamah Tinggi pada 17 Nov 2022.

Pada September tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Ng dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendorong beliau untuk memohon kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan.

Pelanggaran itu berlaku apabila Ng melupuskan 16.5 juta saham Patimas yang dimilikinya antara Mei hingga Julai 2012, ketika memiliki maklumat material bukan awam yang berkaitan dengan pertanyaan audit dan isu tentang transaksi mencurigakan antara Patimas dengan penghutang utamanya.

Perkara itu kemudian dibangkitkan dan dibincangkan oleh juruaudit luar Patimas semasa mesyuarat dengan pengurusan syarikat.

Pada 31 Julai 2012, Lembaga Pengarah Patimas mengumumkan kepada Bursa Malaysia bahawa syarikat itu tidak akan dapat mengeluarkan Penyata Kewangan Tahunan Telah Diaudit untuk tempoh kewangan dari 1 Jan 2011 hingga 31 Mac 2012 disebabkan penemuan atau pertanyaan audit penting yang tidak dapat diselesaikan.

Pada prosiding di Mahkamah Persekutuan hari ini, Ng diwakili peguam Datuk Jasbeer Singh, Noor Syakirah Khalil dan Nur Hakimah Mohamad, manakala SC diwakili oleh peguam Dhinesh Bhaskaran dan Serena Azizuddin bersama-sama Timbalan Pendakwa Raya SC Mohd Hafiz Mohd Yusoff dan Eunice Ong.

-- BERNAMA 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement