SHAH ALAM: Ramai penduduk Shah Alam yang bekerja di Kuala Lumpur dilaporkan berdepan kesesakan lalu lintas yang teruk sehingga lebih sejam selepas beberapa laluan utama di bandar raya itu ditutup akibat banjir susulan hujan berterusan sejak petang Selasa.
Berdasarkan perkongsian orang awam di aplikasi Threads, pengguna jalan raya memaklumkan keadaan trafik sesak luar biasa berikutan penutupan beberapa laluan yang dinaiki air.
Antara lokasi terjejas ialah Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE) serta beberapa jalan berhampiran Seksyen 13 dan Bukit Jelutong.
Menurut perkongsian tersebut, ramai pekerja yang dalam perjalanan dari Shah Alam ke Kuala Lumpur terpaksa menggunakan laluan alternatif selepas jalan utama ditutup, sekali gus menyebabkan kesesakan di beberapa lokasi.
Perjalanan yang kebiasaannya mengambil masa sekitar 30 minit bertukar kepada lebih sejam akibat kesesakan yang berlaku susulan banjir dan penutupan jalan.
Hujan lebat dilaporkan bermula sekitar pukul 4 petang Selasa, berterusan sehingga 6 pagi Rabu, menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air dan menjejaskan pergerakan trafik.
Terdahulu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi hebahan pada jam 4.07 pagi memaklumkan banjir kilat di Kilometer 9.1 NKVE di antara Shah Alam dengan Subang menyebabkan semua lorong kedua-dua arah terhalang.
Trafik dari Bukit Raja menghala ke utara dilencongkan ke Setia Alam, manakala kenderaan dari Subang menghala ke selatan dilencongkan ke ELITE.
Pada jam 3.20 pagi, PLUS turut mengeluarkan hebahan mengenai penutupan semua lorong sebelum memasuki Plaza Tol Shah Alam, manakala pada jam 5.30 pagi, semua lorong di Persimpangan Shah Alam, ELITE, antara Seafield dengan Setia Alam dilaporkan ditutup.
PROLINTAS GCE pula menerusi hebahan jam 5.42 pagi memaklumkan penutupan sepenuhnya susur Ramp B, Ramp C dan Ramp D di persimpangan NKVE akibat banjir kilat.