Skip to main content

Politik

[TERKINI] PRN Melaka: Anak jati Taboh Naning kumpul senjata lama usia ratusan tahun

Samsuddin mengumpul barangan lama itu bermula kira-kira 10 tahun lalu, menerusi pencarian sendiri di pasar karat, rangkaian kenalan serta sumbangan individu yang tertarik dengan minatnya terhadap sejarah Nusantara. - Astro AWANI
Samsuddin mengumpul barangan lama itu bermula kira-kira 10 tahun lalu, menerusi pencarian sendiri di pasar karat, rangkaian kenalan serta sumbangan individu yang tertarik dengan minatnya terhadap sejarah Nusantara. - Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Samsuddin Khalil membina Balai Anjung Warisan Naning di Taboh Naning, Melaka untuk memelihara koleksi artifak dan warisan sejarah tempatan.
  • Koleksi merangkumi hampir 100 bilah senjata lama, barangan kesenian, serta artifak yang dikaitkan dengan zaman Kesultanan Melayu Melaka.
  • Calon DUN Taboh Naning menekankan kepentingan pelestarian warisan dan potensi pelancongan berasaskan sejarah dalam Pilihan Raya Negeri Melaka ke-16.
Advertisement

DI SEBALIK arus perubahan zaman dan derap pembangunan yang semakin pesat, tersembunyi khazanah sejarah yang menjadi warisan berharga di bumi Taboh Naning, Alor Gajah, Melaka.

Di sini, kecintaan terhadap warisan lama menyemarakkan usaha seorang anak jati untuk mengumpul, memelihara dan menghidupkan kembali peninggalan generasi terdahulu.

Bagi Samsuddin Khalil, 59, khazanah sejarah bukan sekadar barangan lama, sebaliknya merakam jejak asal-usul, identiti dan perjalanan sejarah sesebuah bangsa.

Advertisement

Berbekalkan minat dan kecintaan terhadap sejarah, Samsuddin mengambil inisiatif membina sebuah ruang khas yang dikenali sebagai Balai Anjung Warisan Naning.

Image
Sumber: ASTRO AWANI

Ruangan itu menyimpan pelbagai koleksi lama, artifak dan peninggalan tradisi masyarakat setempat.

Advertisement

Baginya, usaha itu bukan sekadar mengumpul barangan antik, tetapi satu tanggungjawab untuk memastikan warisan Naning terus terpelihara dan tidak ditelan zaman.

Katanya, usaha mengumpul barangan lama itu bermula kira-kira 10 tahun lalu, menerusi pencarian sendiri di pasar karat, rangkaian kenalan serta sumbangan individu yang tertarik dengan minatnya terhadap sejarah Nusantara.

“Antara koleksi yang saya simpan ini, ada yang diserahkan oleh orang ramai dan ada juga yang saya sendiri terpaksa cari, tidak kira dari Indonesia mahupun Tanah Melayu.

“Tujuannya supaya kita dapat menyimpan dan memelihara warisan sejarah ini agar tidak hilang,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, baru-baru ini.

Antara koleksi yang disimpan ialah hampir 100 bilah senjata lama, termasuk keris, tombak, lembing, panah dan pedang.

Turut menjadi sebahagian daripada simpanannya ialah dulang lama, barangan kesenian, cokmar yang dipercayai berusia lebih 50 tahun, tongkat rotan songsang serta pelbagai aksesori lama.

Image
Sumber: ASTRO AWANI

Lebih menarik, sebahagian koleksi itu menurut Samsuddin dipercayai mempunyai kaitan dengan zaman Kesultanan Melayu Melaka, malah ada yang didakwanya berusia hampir 500 tahun.

Bagaimanapun, dia mengakui penentuan usia dan asal-usul sebenar sesuatu artifak memerlukan penelitian pakar.

“Antara yang ada di Anjung Warisan ini ialah pedang daripada zaman perang dahulu, termasuk pedang Portugis, pedang Melayu Siam, pedang penghulu rumah panjang Sarawak dan pedang Jepun.

“Selain itu, dari segi alat muzik, kita juga mempunyai nafiri zaman kesultanan dahulu, iaitu nafiri tembaga yang mempunyai motif gajah emas,” katanya.

Nama Naning sendiri terpahat dalam lembaran sejarah tanah air menerusi Perang Naning pada 1831 hingga 1832, yang dipimpin Datuk Dol Said atau Abdul Said dalam penentangan terhadap British.

Sejarah itu menjadikan kawasan tersebut bukan sekadar sebuah kawasan penempatan di Alor Gajah, malah mempunyai latar pemerintahan tradisional, dan sejarah perjuangan tersendiri.

Malah, kawasan Taboh Naning turut menyimpan pelbagai tapak perkuburan lama yang dikaitkan dengan tokoh dan pemimpin terdahulu.

Menurut Samsuddin, terdapat lebih 25 kawasan perkuburan lama di sekitar Naning, termasuk makam Datuk Dol Said, selain struktur batu megalit dan batu Aceh.

Baginya, setiap peninggalan itu mempunyai nilai tersendiri kerana berupaya membuka ruang untuk generasi hari ini memahami kehidupan dan susur galur masyarakat terdahulu.

“Banyak makam lain yang masih terbiar di dalam hutan dan belum diusahakan, termasuk kawasan yang mempunyai batu megalit dan batu Aceh.

“Batu Aceh ini, berdasarkan pemahaman saya, mempunyai kaitan dengan zaman kesultanan,” katanya.

Usaha menghidupkan warisan itu turut diperluas menerusi aktiviti persilatan dan muzik tradisional, selain membawa pengunjung menelusuri lokasi bersejarah di sekitar Taboh Naning.

Dalam masa yang sama, Samsuddin berharap potensi pelancongan berasaskan warisan dapat dikembangkan dengan lebih meluas, sekali gus memberi manfaat ekonomi kepada penduduk kampung.

“Antara yang perlu diberi perhatian ialah promosi, termasuk penyediaan papan tanda dan hebahan di pintu masuk kawasan Taboh Naning.

“Kawasan ini mempunyai pelbagai tarikan seperti makanan tradisional, kraf tangan dan kemudahan inap desa yang boleh diperkenalkan kepada lebih ramai pengunjung,” katanya.

Memperkasa warisan, membangunkan pelancongan

Potensi sejarah menjadi antara perkara yang diberi perhatian oleh dua calon yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Zulkiflee Mohd Zin berpandangan sebarang pertikaian berkaitan institusi adat perlu diselesaikan menerusi permuafakatan dalam kalangan pengamal adat sendiri.

Beliau berkata isu berkenaan bukan perkara baharu, malah pernah dibawa ke mahkamah ketika Tan Sri Rahim Thamby Chik menjadi Ketua Menteri Melaka.

“Saya sudah menasihatkan pengamal adat supaya bermusyawarah dengan baik dan menentukan siapa sebenarnya yang memegang kedudukan itu berdasarkan susur galur serta aturan adat.

“Saya pernah meminta supaya semua pihak duduk bersama kerana saya sedia mendengar pandangan mereka. Jika ada kesepakatan, perkara itu boleh dibawa kepada Ketua Menteri dan Yang Dipertua Negeri untuk mendapatkan nasihat atau mengadakan rundingan,” katanya.

Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH), Ajue Sahat berpandangan Taboh Naning perlu diketengahkan sebagai produk pelancongan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan berkenaan.

Menurutnya, Taboh Naning mempunyai latar sejarah tersendiri, termasuk kisah perjuangan pahlawan dan Makam Datuk Dol Said yang mempunyai nilai penting untuk diperkenalkan kepada generasi muda.

“Saya tertarik dengan Taboh Naning kerana warisannya. Kawasan ini mempunyai sejarah yang menarik, termasuk sejarah pahlawan Naning dan Makam Dol Said.

“Kalau kita lihat, ada bahagian makam yang keadaannya tidak terjaga. Kita boleh membangunkan kawasan sekitarnya, selain memberi perhatian kepada masjid yang sudah uzur.

“Kita mahu menjadikan sejarah itu sendiri sebagai satu produk pelancongan di Taboh Naning,” katanya.

Pada PRN Melaka ke-16, DUN Taboh Naning merekodkan 11,299 pengundi berdaftar.

Zulkiflee dan Ajue berdepan saingan satu lawan satu bagi merebut kerusi DUN berkenaan pada 14 November ini.

 

 

Must Watch Video

Advertisement